SEPANYOL mencapai kemenangan 3-0 ke atas Norway yang beraksi tanpa Erling Haaland, pada aksi kelayakan Euro 2024, manakala satu lagi perlawanan menyaksikan Croatia dan Wales terikat 1-1.
Hantaran rendah Alejandro Balde pada minti ke-13 disudahkan Dani Olmo untuk gol pertama sebelum Joselu medak dua gol pada penampilan sulung, menghadiahkan kemenangan pertama Sepanyol di bawah kendalian jurulatih baharu, Luis de la Fuente.
Penyerang Espanyol, Joselu dimasukkan sebagai pemain gantian meledak dua gol pantas pada minit ke-84 dan 85, selepas gol awal Olmo pada minit ke-13 perlawanan.
Dalam perlawanan itu juga menyaksikan, penjaga gol Chelsea, Kepa Arrizabalaga cemerlang pada penampilan pertamanya dalam kesebelasan utama Sepanyol sejak 2020, selepas berjaya menafikan cubaan Fredrik Aursnes dan satu lagi cubaan di atas garisan gol.
“Saya masih tidak percaya kerana bagi mana-mana pemain, ini adalah perkara terbaik boleh berlaku ia hasil latihan setiap hari,” kata Joselu, 32, yang menjadi pemain Sepanyol pertama menjaringkan dua gol pada penampilan sulung bersama skuad kebangsaan selepas Fernando Morientes melakukannya pada 1998.
Juara tiga kali Eropah itu akan bertandang ke Hampden Park untuk aksi seterusnya dalam kumpulan A selepas ini bagi menentang Scotland yang turut cemerlang dengan kemenangan 3-0 ke atas Cyprus.
Sementara itu, Croatia terpaksa berkongsi mata dengan Wales selepas gawang mereka dibolosi pada saat akhir perlawanan kumpulan D.
Pemain baharu Wales, Nathan Broadhead menjaringkan gol penybamaan pada masa kecederaan 90+3, memadam kelebihan Croatia yang dijaringkan Andrej Kramaric pada minit ke-28.
Wales beraksi tanpa penjaring terbanyak dan kapten mereka, Gareth Bale yang bersara, manakala pada perlawanan itu menyaksikan Luka Modric mengumpul kap ke-163.
Untuk rekod, Croatia belum pernah tewas di laman sendiri dalam aksi kelayakan Euro sejak 1994, kini memasuki perlawanan ke-36. -AFP
Keputusan Kelayakan Euro 2024 :
Sepanyol 3 – 0 Norway
Croatia 1 – 1 Wales
Andorra 0 – 2 Romania
Israel 1 – 1 Kosovo
Belarus 0 – 5 Switzerland
Armenia 1 – 2 Turki
Scotland 3 – 0 Cyprus