PERSIAPAN skuad futsal kebangsaan untuk menghadapi Kelayakan Futsal Piala Asia 2024 di Uzbekistan Oktober ini tetap berjalan lancar meskipun tanpa kehadiran Ketua Jurulatih yang hanya akan diumumkan pada Ogos 2023.
Perkara ini disahkan sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Rosmadi Ismail yang turut menjelaskan akan berlaku beberapa perubahan yang akan diambil untuk mengukuhkan sistem futsal kebangsaan.
“Dalam masa terdekat, Ogos ini kita akan umum Ketua Jurulatih dan terus buat persiapan untuk ke kelayakan Piala Asia. Saya jangkakan kita ada dalam dua bulan dan mungkin pemain yang sedang bermain dalam liga ketika ini dapat sambung tahap kecergasan mereka ke kelayakan ini.
“Walaupun nampak kita tidak lakukan persiapan lagi tetapi pasukan teknikal kita sudah lakukan persiapan dengan memantau pemain-pemain yang bagus untuk mewakili negara.
“Mungkin ramai pemain dari Pahang Rangers dan Johor Darul Ta’zim yang akan dipilih kerana pasukan ini sudah melakukan persiapan yang rapi dan kami akan serap pemain mereka dalam pasukan kebangsaan,” katanya ketika ditemui di Kongres Tahunan FAM kali ke-59 di Petaling Jaya pada Sabtu.
Menjawab soalan FLASH SUKAN siapa yang bakal diumumkan sebagai Ketua Jurulatih Kebangsaan yang baharu, Rosmadi menjelaskan ianya di peringkat perbincangan terakhir dan ianya kepakaran jurulatih ini ditagih untuk mengembalikan semula prestasi skuad futsal kebangsaan.
“90 peratus calon pengendali sudah dikenalpasti tetapi kerana ada beberapa perkara kita tidak boleh umumkan lagi setakat ini. Dia mempunyai pengalaman yang luas dan pernah cipta kejayaan dengan pasukan negaranya dan dia adalah pengendali dari Asia.
“Kita akui kita di FAM sudah cuba lakukan yang terbaik di peringkat antarabangsa dan keputusan tidak menyebelahi kita dan kini kita telah mengambil persetujuan dari Presiden FAM untuk mengukuhkan lagi sistem termasuk liga dan pasukan kebangsaan.
“Kita mengambil jurulatih dari luar dan dia ada keputusan untuk pilih pembantunya tetapi bagi saya apa yang penting dalam futsal ini adalah seorang pelatih fizikal dari kita akan cari dari luar negara.
“Untuk liga tahun depan, kita akan bincang formatnya kerana kita baru keluar dari fasa pandemik dan kita perlu mula dari mula. Liga musim ini tunjuk perkara positif dan saya setuju dengan pandangan pasukan untuk dapatkan lebih banyak perlawanan kompetitif kerana ianya perlu untuk tingkatkan prestasi terutama untuk pasukan kebangsaan,” tambahnya.
Skuad Futsal Kebangsaan diundi dalam Kumpulan B bersama-sama Uzbekistan, Kemboja dan Iraq dari 2 hingga 13 Oktober 2023 dengan pasukan tempat teratas setiap kumpulan dan tujuh tempat kedua terbaik akan layak ke Piala Asia Futsal tahun hadapan.