KEPUTUSAN mengejutkan menyelubungi kem hoki negara di Muscat Oman, apabila reputasi sebagai salah satu kuasa hoki Asia dicalar China, dengan kekalahan pertama Speedy Tigers daripada 9 pertemuan dengan skuad negara Tembok Besar itu.
Pengendali skuad hoki lelaki negara, A Arulselvaraj pantas menggesa pemain supaya bangkit menjelang pertembungan dengan Great Britain pada aksi kedua Kumpulan A kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 jam 12.45 tengah malam ini.
Mengakui perlawanan sukar menanti, Arul mahu anak buahnya segera melupakan kekecewaan dek kekalahan 2-3 kepada China pada aksi pembuka tirai saingan malam tadi.
“Perlawanan esok menentang Great Britain agak merumitkan kita, jalan penentuan kita disebabkan kekalahan di tangan China. Pemain kena sedar, bangkit, memperbetulkan diri mereka sendiri, keluar dengan mentaliti untuk bermain mati-matian dan berfikiran positif yang tinggi.
“Dengan pasukan Great Britain ini, kita harus berwaspada cara kita bermain. Kalau terbuka agak susah untuk kita kerana pasukan ini berada di tangga ketiga atau keempat dunia selain mereka bermain dengan terlalu pantas. Kita kena bijak menguruskan ruang supaya tidak memberi peluang kepada mereka,” kata Arul.
Berdasarkan rekod sembilan pertemuan sebelum ini, Great Britain memperoleh enam kemenangan dan kedua-dua pasukan terikat seri sebanyak tiga kali.
Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu adalah Kelayakan Olimpik 2019 yang menyaksikan Malaysia tewas 2-5.
Mengulas mengenai perlawanan malam tadi, Arul berkata, ia satu keputusan yang tidak diinginkan dan menyukarkan hala tuju pasukan dalam memburu kelayakan ke Paris.
“Keputusan yang tidak diingini dan tak diduga walaupun banyak menguasai perlawanan. Kesilapan ketara menghukum kita apabila lawan memperoleh jaringan padang, satu penalti stroke dan gol dari pukulan sudut penalti di saat akhir,” kata Arul.
China mengatasi Malaysia buat kali pertama malam tadi dalam sembilan pertemuan yang menyaksikan skuad negara menang enam kali dan seri dua kali termasuk di Sukan Asia Hangzhou.