KETUA Jurulatih Bawah 17 Tahun (B-17) negara, Osmera Omaro nyata tidak berpuas hati meskipun pemain berjaya mengatasi Chinese Taipei 2-1 dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium UITM, Shah Alam pada Rabu.
Jelasnya, barisan penyerang perlu lebih tajam dalam melakukan penyudah bagi memastikan gawang lawan berjaya dibolosi.
“Saya sebenarnya pun tidak berapa gemar menggunakan faktor nasib. Bagi saya, pemain harus lebih tajam. Satu aspek di bahagian serangan, mungkin kita boleh baiki lagi. Ada masa sedikit lagi, kita boleh perbaiki lagi.
“Kita akan simpan bola banyak, ini tidak akan berubah. Dari segi lebih mendalam, itu bergantung kepada pasukan yang akan kita tempuh.
“Masalah yang sama berulang, setiap seranagan mereka nampak berbahaya, benda ini kita harap sempat kejar dan perbaiki sedikit.
“Kalau kita tengok hari ini palang tiga empat kali. Ini bukan problem yang senang untuk diperbaiki. Kalau kita tengok masuk AFF trend sama sahaja. Saya harap situasi ini akan berubah,” ujarnya selepas perlawanan persabahatan Tier 2 itu.
Untuk perjalanan seterusnya di Bogor, dia akan terus menggunakan taktikal sebelum ini dengan bermain secara possession football dan melakukan build up play ketika menyerang.
Skuad B-17 negara bakal memulakan aksi Kelayakan AFC B-17 Tahun pada 1 Oktober ini bertemu Palestin, diikuti Guam (5 Okt), UAE (7 Okt) dan tuan rumah Indonesia pada 9 Oktober bagi Kumpulan B.