SKUAD Bawah 16 Tahun (B-16) Kebangsaan telah berlepas ke Jakarta bagi menghadapi pusingan Kelayakan Piala Asia AFC B-17 Tahun di Bogor, Indonesia dengan peringkat kumpulan berlangsung dari 1 hingga 9 Oktober 2022.

Seramai 23 pemain bakal membawa cabaran negara dan ini adalah peluang terbaik buat anak-anak buah Osmera Omaro untuk menebus kehampaan di Kejohanan AFF B16 yang juga berlangsung di Indonesia Julai lalu.

Skuad B-16 kebangsaan telah diundi di dalam Kumpulan B bersama pasukan tuan rumah, Indonesia selain Palestin, Guam dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan 10 juara kumpulan dan enam tempat kedua terbaik layak ke kejohanan akhir yang bakal ditentukan siapakah yang akan menjadi tuan rumah.

 

Skuad Osmera Omaro itu telah mendapat semangat tambahan apabila berjaya menewaskan Chinese Taipei 2-1 pada aksi persahabatan yang berlangsung di Stadium UiTM Shah Alam pada Rabu.

Meskipun mencapai kemenangan namun ianya masih gagal memuaskan hati Osmera yang nyata masih tidak gembira dengan penyudah barisan hadapan yang dilihat masih melakukan kesilapan yang sama.

 

Malaysia dijadual memulakan saingan Kumpulan B Kelayakan Piala Asia B17 bertemu Palestin pada 1 Oktober sebelum bertemu Guam pada 5 Oktober dan UAE pada 7 Oktober dengan tuan rumah, Indonesia bakal dihadapi pada 9 Oktober 2022.