PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berharap pemain Harimau Malaya dapat menterjemahkan keputusan baik atas padang menjelang saingan Kumpulan E kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Rabu.

Menurutnya, skuad bola sepak kendalian Kim Pan-gon diibaratkan seperti dalam medan peperangan yang baru sahaja nak bermula dan sebarang kemungkinan boleh berlaku.

“Saya dah maklum kepada pemain dan pegawai agar tidak dibuai mimpi selepas raih kemenangan ke atas Hong Kong (2-0) dan Brunei (4-0) aksi pemanas badan dan catat keputusan baik.

“Pemain perlu fokus, jaga kesihatan, makan minum cukup dan penting minta keluarga memberi semangat dan elakkan ada masalah peribadi lain.

“Ini peluang pasukan kita saji aksi cemerlang di hadapan penyokong sendiri,” katanya selepas bertemu barisan pemain Harimau Malaya, jurulatih dan pegawai pasukan.

Skuad Turkmenistan menjalani latihan di Stadium UiTM Shah Alam pada Isnin.

Turkmenistan yang berada di ranking 134 FIFA menjadi lawan sulung negara sebelum menentang Bahrain, Sabtu ini dan Bangladesh (14 Jun).

“Kita perlu dapatkan tiga mata bertemu Turkmenistan,” katanya lagi.