SKUAD Bawah 19 Tahun (B-19) Negara gagal menepati sasaran awal untuk mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan pembukaan Kumpulan E Kelayakan Piala Asia AFC B-20 bertemu Mongolia.
Malaysia terpaksa bangkit dari ketinggalan pada babak pertama untuk mencatat keputusan seri 1-1 menentang pasukan tuan rumah Mongolia di Stadium MFF Ulaan Bataar, Mongolia.
Meskipun menguasai permainan namun para pemain gagal menyempurnakan peluang yang ada dan kini menempah laluan yang sedikit sukar untuk sekurang-kurangnya berada di tempat kedua kumpulan.
Keputusan Masa Penuh
Kelayakan Piala Asia B-20 2023 | Rabu, 14 September 2022
MALAYSIA 🇲🇾 1-1 🇲🇳 MONGOLIA
⚽️ Aliff Izwan Yuslan 54'
⚽️ Buyannemekh Ganbat 24' (P)Kredit Foto: @theafcdotcom #FAM #HarimauMalaya #AFCU20 pic.twitter.com/UBQSiys81k
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) September 14, 2022
Keadaan kelam kabut di dalam kotak penalti Malaysia menyaksikan Alif Farhan dipersalahkan kerana menghalang pemain Mongolia dan pengadil tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti.
Buyannemekh Ganbat mudah menyempurnakan sepakan penalti itu untuk memberikan kelebihan buat Mongolia sehingga tamat separuh masa pertama.
Malaysia menukar corak permainan dengan lebih pantas pada babak kedua dan melancarkan serangan bertali arus ke gawang Mongolia untuk mencari gol penyamaan.
Akhirnya gol tersebut hadir sembilan minit selepas perlawanan bersambung dengan Aliff Izwan tenang menyempurnakan umpanan Najmuddin Akmal yang tidak putus asa melepasi kawalan barisan pertahanan lawan.
Gol itu nyata membangkitkan semangat para pemain negara dan berterusan mengasak kubu Mongolia namun dinafikan penyudah yang tumpul serta kekuatan barisan pertahanan Mongolia yang berdisiplin.
Dengan keputusan seri ini kedua-dua pasukan mengutip satu mata dan Malaysia akan berhadapan Sri Lanka manakala Mongolia akan bertemu Korea Selatan pada Jumaat.
Dalam satu lagi pertemuan Kumpulan E, Korea Selatan tidak menghadapi masalah untuk membenam cabaran Sri Lanka 6-0 sekaligus mendahului Kumpulan E dengan tiga mata.