SKUAD B-23 tahun kebangsaan hanya mengharapkan tiga mata penuh apabila berhadapan Filipina dalam aksi kedua Kumpulan H Kelayakan Piala Asia AFC B-23 2024 di Chonburi, Thailand dengan para pemain dilihat sudah bersedia untuk mencapai objektif itu.

Malaysia membuka kempen pusingan kelayakan dengan langkah kanan apabila menumpaskan Bangladesh 2-0 pada Rabu meskipun terpaksa menunggu sehingga minit-minit akhir permainan sebelum Aliff Izwan Yuslan dan Fergus Tierney berjaya merobek gawang lawan.

Filipina yang sebelum ini tewas 0-5 kepada Thailand tidak boleh dipandang enteng kerana mereka mampu menghukum sebarang kesilapan yang dilakukan pemain negara yang mungkin boleh menutup ruang untuk layak ke Piala Asia secara merit.

Penjaring gol kedua, Fergus Tierney gembira dengan tiga mata pertama yang diperolehi dan kini hanya fokus untuk mencari kemenangan menentang Filipina tanpa memikirkan jumlah jaringan yang akan dijaringkan.

“Perlawanan dengan Bangladesh sudah berakhir dan kita dapat tiga mata. Itu yang paling penting walaupun tidak menjaringkan banyak gol dan tidak bagi persembahan terbaik.

“Jadi sekarang kita sedia untuk lawan Filipina dan mahu dapat tiga mata. Berapa jumlah jaringan tidak penting yang penting menang dan saya percaya dengan pasukan serta buat penyokong teruskan sokongan dan kami hargainya,” katanya.

Seorang lagi pemain warisan, Nooa Laine yang baru tiba dari Finland berkata dia berada dalam keadaan yang baik walaupun menempuh perjalanan yang panjang dan mahu berikan yang terbaik jika dia dipilih barisan kejurulatihan untuk bermain.

“Saya rasa cergas walaupun perjalanan jauh dan saya sudah sertai satu latihan dan ianya cukup buat saya. Kami hanya mahu menang dan ianya baik jika saya diturunkan dan bantu pasukan untuk menang,” jelasnya.

Kemenangan sememangnya dituntut dari anak-anak buah E. Elavarasan kerana tiga mata bakal meletakkan Malaysia di kedudukan yang baik sebelum bertemu Thailand pada perlawanan terakhir pada Selasa bagi menentukan juara kumpulan.

Sebanyak 11 juara kumpulan dan empat pasukan tempat kedua terbaik bakal menyertai Qatar yang layak secara automatik sebagai tuan rumah ke Kejohanan Piala Asia AFC B-23 2024 di Doha dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meletakkan sasaran untuk layak secara merit ke kejohanan itu.