KEMENANGAN skuad B19 Tahun Kebangsaan keatas Sri Lanka semalam membuka kembali peluang pasukan negara untuk layak ke Kejohanan Piala Asia AFC B20 Tahun 2023 di Uzbekistan.
Tiga mata penuh yang diperolehi meletakkan skuad negara di tangga kedua Kumpulan E dengan empat mata selepas terikat dengan Mongolia pada aksi pertama.
Bagi jurulatih negara, Hassan Sazali Waras kemenangan ini telah meningkat moral para pemain untuk berhadapan pasukan pilihan, Korea Selatan esok dan dia mahukan anak-anak buahnya tidak memberikan ruang kepada lawan.
Hassan juga percaya pemain akan memberikan komitmen penuh dalam usaha mencari mata penuh untuk layak ke Uzbekistan sebagai juara kumpulan tanpa perlu menunggu keputusan perlawanan lain.
“Alhamdulillah dengan kemenangan semalam ianya telah meningkat moral para pemain bagi menghadapi perlawanan menentang Korea Selatan esok. Meskipun diakui mereka adalah pasukan pilihan, tetapi kita tidak perlu terlalu menghormati lawan.
“Pasukan harus mencari mata penuh dan tidak memberi ruang yang agak luas kepada Korea Selatan bagi mengesahkan kedudukan untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia di Uzbekistan tahun hadapan
“Saya percaya para pemain akan memberi komitmen penuh dalam perlawanan esok dan jika mencatat keputusan seri, kita harus bergantung kepada keputusan pasukan di kumpulan lain untuk layak berdasarkan pungutan mata tertinggi dan jumlah jaringan,” katanya kepada FLASH SUKAN.
Perlawanan menentang Korea Selatan esok pastinya akan menjadi tumpuan dengan keputusan positif akan membawa skuad negara ke Uzbekistan 2023.