AKSI lebih mencabar menanti pasukan kebangsaan B-17 dalam dua perlawanan seterusnya tatkala mereka ketika ini menghuni tangga ketiga saingan Kelayakan Piala Asia B-17 2023 di Bogor, Indonesia.
Skuad kendalian Osmera Omaro harus memberi tekanan kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan pada masa sama wajib merakam tiga mata jika tidak mahu menjadi sasaran kecaman peminat di tanah air.
Walau bagaimanapun, tidak mudah pasukan Harimau Muda melakar kejutan ke atas lawan yang juga dilabel pasukan pilihan kerana kecemerlangan dipamerkan UAE begitu menakjubkan.
Ledakan 15 gol ke gawang lawan (Guam, Palestin, Indonesia) memperlihatkan Osmera harus mengelak menjadi mangsa belasahan berikutnya di Stadium Pakansari.
Bagaimanapun, tinjauan peminat di Facebook Persatuan Bola Sepak Malaysia dapati mereka masih meniupkan semangat positif untuk kembali bangkit di landasan kemenangan.
Tun Niela Utama membuat hantaran : “Belum berakhir yang penting perlu kalahkan UAE dan Indonesia. Kalau Guam yang disangkakan lemah boleh mengikat Malaysia. Kenapa tidak mustahil negara kita kepada kedua negara yang perlu ditemui tak boleh sebegitu. Mungkin kita tak sama dengan Guam agaknya.. Semangat berpasukan yang penting sebenarnya.
Seorang lagi peminat Muhammad Adha Razali menggesa Malaysia wajib menang ke atas UAE 4-1 dan Indonesia 2-0 untuk layak.
Malaysia kini berada di tempat ketiga Kumpulan B dan kalah dari segi perbezaan gol kepada Indonesia serta ketinggalan dua mata di belakang UAE.
Selepas menentang UAE, Malaysia akan menentang Indonesia dalam aksi terakhir yang kini menerajui kumpulan dengan enam mata pada, Ahad.
Menurut format kelayakan, 10 juara kumpulan dan hanya lima naib juara terbaik akan layak ke pusingan akhir Piala Asia B-17 tahun depan.