MALAYSIA B-17 menyalakan harapan layak ke pusingan akhir apabila mengatasi Emiriah Arab Bersatu (UAE) 3-2 dalam saingan Kelayakan Piala Asia B-17 2023 di Stadium Pakansari, Bogor sebentar tadi.

Selepas terikat 1-1 dengan Guam perlawanan sebelum ini, skuad Osmera omaro itu tiada pilihan selain meraih kemenangan besar ke atas UAE.

Gol Arami Wafiy di penghujung babak pertama meletakkan Malaysia di kedudukan selesa ketika menuju ke bilik persalinan.

Anjasmirza mengukuhkan kem negara dengan gol minit ke-51 tetapi UAE melakukan kebangkitan memperoleh jaringan penyamaan menerusi Saeed Amer Mohammad (76′) dan Abdulaziz Mohamed Almarzooqi (84′).

Ketika permainan seakan berakhir seri, Faris Danish muncul hero Harimau Muda untuk gol kemenangan yang dicari-cari 90’+3′.

Sementara itu, Osmera mengakui sudah bersedia untuk menampilkan aksi terbaiknya menentang tuan rumah Indonesia, pada Ahad.

“Menentang Indonesia, pasukan yang bagus dan tuan rumah. Pada hari Ahad kami akan bermain dan bersedia untuk menunjukkan yang terbaik,” kata Osmera dalam sidang media selepas perlawanan menentang UAE.

Osmera mengakui tidak begitu mengenali pemain bintang Indonesia. Bagaimanapun, dia percaya pasukan kebangsaan B-17 menyasarkan untuk menimba pengalaman daripada pemain muda.

“Pada mulanya saya baru tahu siapa yang bermain di atas padang, dan sudah tentu persiapan ini adalah sebahagian daripada proses pembelajaran kepada pemain. Ini baru 16 tahun, di Malaysia ada lebih kurang 15 tahun ada juga 14 tahun. Dalam perlawanan seperti ini dia mesti belajar,” kata Osmera.

Skuad negara yang mengutip tujuh mata selepas tiga perlawanan kini perlu menewaskan tuan rumah, Indonesia dalam misi wajib menang mereka pada aksi terakhir Kumpulan B pada Ahad untuk menjamin slot ke pusingan akhir secara merit.