MALAYSIA bertekad memburu tiga mata lagi apabila dijadual menentang Guam dalam aksi kedua Kumpulan B Kelayakan Piala Asia B-17 2023 di Stadium Pakansari, Bogor pada Rabu.

Menurut pengendali skuad B-17 negara, Osmera Omaro, kesebelasan skuad Harimau Muda itu diyakini mampu merealisasikan perkara berkenaan berdasarkan kepada prestasi yang dipamerkan setakat ini.

“Pertama, buat masa ini ingatan kita semua adalah pada mangsa, keluarga dan rakan-rakan mereka yang terkorban dalam insiden malang di Jawa Timur, Indonesia.

“Menyentuh aksi perlawanan lawan Guam, kami akan teruskan saja apa yang kami lakukan sebelum ini.

“Tentang barisan pemain, kita akan turunkan kesebelasan yang kita rasa paling sesuai bagi hadapi perlawanan ini.

“Saya ada keyakinan penuh dengan keseluruhan skuad pemain dan sesiapa pun yang diturunkan pasti dapat beri aksi terbaik,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

 

Malaysia bermula garang, membelasah Palestin 4-0 dalam saingan pembukaan. Selepas bertemu Guam, pemain negara akan bertemu lawan liat iaitu Emiriah Arab Bersatu (7 Oktober) dan tuan rumah, Indonesia (9 Oktober).

Menurut format pertandingan, 10 juara kumpulan dan hanya lima naib juara terbaik akan layak ke Piala Asia B-17 2023.