PASUKAN Malaysia bawah 16 akan menghadapi laluan yang berliku untuk bermain di pentas Piala Asia B-17 2025 apabila diletakkan di dalam satu kumpulan kelayakan bersama Emiriah Arab Bersatu (UAE), Lebanon dan Laos dalam kumpulan H.

Undian itu dibuat oleh AFC sebentar tadi dengan menyaksikan skuad kendalian Javier Jorda Ribera akan menghadapi saingan daripada dua pasukan dari Timur Tengah dan satu dari Asia Tenggara.

Ini merupakan tugasan pertama buat pengendali baharu skuad muda negara, Javier Jorda Ribera dan beliau perlu menyediakan pemain dengan lebih awal agar skuad Harimau Muda dapat melayakkan diri ke kejohanan rasmi itu.

Harimau Muda perlu menjuarai kumpulan untuk mendapatkan slot automatik bermain di Arab Saudi pada tahun hadapan.

Jika mereka gagal berbuat demikian, mereka perlu berada di tempat kedua dalam kumpulan, dengan lima terbaik tempat kedua akan mendapat slot ke Piala Asia B-17 di Arab Saudi tahun hadapan.

Laos akan menjadi tuan rumah bagi pusingan kelayakan kumpulan H, sedikit sebanyak ia akan membantu Malaysia bermain seperti biasa ekoran iklim yang hampir sama.

Edisi sebelum ini menyaksikan Malaysia muncul sebagai juara kumpulan ketika fasa kelayakan, sekali gus membolehkan Malaysia untuk bermain di Piala Asia B-17 di Thailand.

Walau bagaimanapun, Malaysia hanya mampu mengutip tiga mata ketika kejohanan itu berlangsung tahun lepas menyaksikan mereka tersingkir awal daripada kejohanan.