KETUA Jurulatih Skuad Wanita B17 Kebangsaan, Petronella Douny bangga dengan persembahan yang ditunjukkan anak-anak buahnya ketika membelasah Kepulauan Mariana Utara 5-1 dalam perlawanan Kelayakan Piala Asia B-17 Wanita di Buriram, Thailand.

Empat gol daripada penyerang Rocilleyka Lole dan satu daripada Adlin Bandi sudah cukup untuk memberikan Malayan Tigress B-17 tiga mata penuh sekaligus berpeluang untuk layak ke peringkat kelayakan kedua September nanti.

“Persembahan pasukan kami baik dan saya bangga dengan corak permainan yang baik dan berharap para pemain dapat kekalkan prestasi akan datang menentang Thailand,” katanya ketika sidang media selepas perlawanan.

 

Petronella juga mahu semua pemain melakukan yang terbaik apabila bertemu Thailand pada Ahad dan kemenangan keatas Kepulauan Mariana Utara ini memberikan semangat tambahan buat pasukan yang hanya dibentuk selama 18 hari.

“Sukar untuk saya menjawab soalan mengenai peluang kami apabila bertemu Thailand tetapi kami akan lakukan yang terbaik dalam perlawanan itu nanti,” tambahnya.

Skrip positif ini juga dikongsi bersama penjaga gol kebangsaan, Daliea Eliesa yang bersyukur kerana dia dan rakan-rakan sepasukan berjaya menjalankan tugas dengan baik dan dia turut berterima kasih kepada penyokong yang sentiasa berada di belakang pasukan.

Aksi Daliea Eliesa menjaga gawang

“Saya bersyukur kerana kami berjaya jalankan tugas dengan baik. Tahniah juga kepada pasukan lawan kerana bermain dengan baik tetapi pasukan kami bermain dengan bagus dan saya gembira kerana kami dapat pamerkan aksi yang menarik.

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua pemain atas persembahan yang baik dan terima kasih juga kepada penyokong yang sentiasa memberikan sokongan kepada kami,” katanya dalam sidang media yang sama.

Dengan kemenangan itu, Malaysia kini berada di tangga kedua Kumpulan A terikat tiga mata bersama-sama tuan rumah, Thailand dan dibezakan perbezaan jaringan selepas Thailand membenam Kepulauan Mariana Utara 11-0 pada Khamis.

Kedua-dua pasukan akan bertemu untuk menentukan juara kumpulan yang akan layak ke pusingan kedua kelayakan September nanti dan Malaysia pastinya mahu mencipta kejutan untuk mengecewakan Thailand.