PENGENDALI skuad B-23 tahun kebangsaan, E. Elavarasan mengucapkan terima kasih kepada pemainnya kerana berjaya mencapai objektif untuk mengutip tiga mata selepas menewaskan Bangladesh 2-0 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan H, Kelayakan Piala Asia AFC B-23 di Chonburi, Thailand.
Dua jaringan daripada Aliff Izwan Yuslan dan Fergus Tierney pada lewat permainan memastikan Malaysia mencatat kemenangan sekaligus membina momentum yang baik untuk bergelar juara kumpulan.
“Apa yang penting kami berjaya mencatat kemenangan dan tiga mata. Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan tiga mata ini dan kini kami perlu bersiap sedia untuk perlawanan akan datang.
“Pemain bermain sebagai satu pasukan dan ini sangat penting kerana ianya 0-0 pada babak pertama dan begitu sukar untuk mendapatkan gol dan ianya perlawanan yang sukar buat kami. Terima kasih kepada pasukan kerana bermain sebagai satu unit dan mencapai objektif,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Elavarasan juga mahu para pemain terus menumpukan perhatian kepada perlawanan seterusnya dengan meneruskan aksi bersungguh-sungguh untuk mendapatkan tiga mata.
“Benar kami mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol tetapi pasukan lawan bertahan dengan baik dan kami mencuba yang terbaik untuk mendapatkan gol. Semua pemain bermain dengan bersungguh-sungguh dan objektif untuk mendapatkan tiga mata sangat penting buat kami.
“Sekarang kami akan menumpukan perhatian kami kepada perlawanan seterusnya dan berharap dapat mencatat satu lagi kemenangan dan memungut tiga mata,” tambahnya.
Malaysia akan menentang Filipina dalam perlawanan kedua pada Sabtu dengan kemenangan bakal menjamin tempat yang lebih terbuka untuk layak secara merit ke Piala Asia AFC B-23 tahun hadapan.