LALUAN skuad B-23 tahun kebangsaan untuk layak secara merit ke Kejohanan Piala Asia AFC B-23 2024 semakin cerah apabila mudah membenam cabaran Filipina 5-0 dalam aksi kedua Kumpulan H di Stadium Chonburi, Thailand.
Pengendali, E. Elavarasan melakukan beberapa pertukaran dalam kesebelasan utama dengan memberikan peluang kepada dua pemain yang berkelana di luar negara, Luqman Hakim dan Nooa Laine untuk memulakan permainan.
Dua gol dari pemain penyerang, T. Saravanan dan masing-masing satu dari Mukhairi Ajmal dan Harith Haiqal sudah cukup untuk memberikan anak-anak buah E. Elavarasan tiga mata penuh dan bakal menentukan tempat sebagai juara kumpulan apabila berhadapan Thailand pada Selasa.
Harimau Malaya bermula garang apabila hanya memerlukan 27 saat sahaja untuk menjaringkan gol selepas Mukhairi Ajmal meledak rembatan kencang selepas menerima hantaran lintang dari Fergus Tierney.
Seakan tidak cukup, berselang enam minit, penyerang Kuala Lumpur City FC, T. Saravanan menggandakan jaringan Malaysia selepas menerima hantaran Luqman Hakim sebelum Harith Haiqal memberikan kelebihan lebih selesa apabila rembatannya dari luar kotak penalti terus menerjah jaring untuk gol ketiga pada minit ke-21.
Elavarasan melakukan beberapa pertukaran pada permulaan babak kedua dan hasilnya T. Saravanan berjaya menambah gol keempat Malaysia dan kedua peribadinya pada minit ke-62 hasil kerja keras Fergus Tierney yang mengatasi beberapa pemain pertahanan Filipina.
Skuad muda negara terus mengasak kubu Filipina untuk menambah jaringan tetapi tidak berjaya untuk melakukannya dan kedudukan 4-0 kekal untuk Malaysia mengutip kemenangan kedua dan enam mata maksimum dengan tujuh jaringan dan kekal tanpa bolos.
Malaysia perlu menunggu keputusan perlawanan Thailand dan Bangladesh yang berlangsung pada sebelah malam bagi menentukan kedudukan dalam kumpulan sebelum kedua-dua pasukan bertemu pada Selasa.