PENGENDALI skuad B-23 tahun kebangsaan, E. Elavarasan sedar dengan kehendak para penyokong yang mahu menyaksikan aksi terbaik dari anak-anak buahnya sekaligus layak ke peringkat akhir Piala Asia AFC B-23 2024 yang bakal berlangsung di Qatar.
Sedar dengan kehendak itu, Elavarasan yakin para pemainnya dapat merealisasikan impian itu dengan memberikan persembahan terbaik meskipun sedar ianya bukanlah semudah yang disangka.
“Kami hadir ke sini dengan sasaran untuk mendapatkan satu slot ke pusingan akhir Piala Asia. Kami juga melakukan penggiliran pemain dengan menjadikan semua kejohanan yang disertai sebagai ruang untuk menambah pengalaman dan berharap para pemain dapat berikan yang terbaik dalam peringkat kelayakan ini.
“Harapan daripada penyokong sangat tinggi dan kami kesini untuk melakukan yang terbaik dan cuba berikan apa yang penyokong mahukan meskipun kami jangkakan ianya akan menjadi tugas yang sukar tetapi kami bersemangat untuk menyertai kempen ini,” katanya dalam sidang media pra perlawanan di Stadium Chonburi, Thailand.
Malaysia akan membuka tirai saingan pusingan kelayakan ini menentang Bangladesh dan menurut salah seorang pemain, Harith Haiqal aksi bertemu Bangladesh adalah perlawanan terpenting kerana tiga mata semasa hari pembukaan akan memberikan motivasi tambahan buat pasukan untuk bermain lebih baik.
Skuad muda Harimau Malaya diundi dalam Kumpulan H bersama-sama Bangladesh, Filipina dan tuan rumah Thailand dengan harapan merebut tempat pertama kumpulan untuk layak automatik ke kejohanan sebenar di Qatar tahun hadapan.