PENGENDALI skuad Wanita B20 Tahun Kebangsaan, Cameron Ng menjangkakan pasukan tuan rumah, Kemboja akan memberikan cabaran buat para pemainnya apabila bakal bertemu dalam perlawanan pertama kelayakan Piala Asia Wanita B-20 pada Jumaat.

Ini selepas Cameron menyaksikan aksi pasukan Kemboja ketika menentang Myanmar pada perlawanan pertama tuan rumah yang menyaksikan mereka tewas 2-0 dan ini akan menjadikan perlawanan menentang Malaysia sebagai medan terbaik untuk mereka meraih kemenangan.

Atas sebab ini, Cameron dan barisan kejurulatihan sudah melakukan persiapan dan analisa untuk menentukan taktikal terbaik buat skuad negara untuk mengutip tiga mata penuh.

“Bagi saya Kemboja bermain dengan baik terutamanya pada separuh masa pertama dengan formasi yang bagus termasuk mereka bermain dengan taktikal yang sudah dirancang dan pastinya perlawanan esok akan memberi cabaran yang baik buat kami.

“Saya dapat lihat mereka cuba melakukan perkara yang betul dengan membina perlawanan dari belakang dan kini tugas saya adalah untuk memikirkan bagaimana untuk tewaskan Kemboja di hadapan penyokong mereka sendiri untuk mendapatkan keputusan positif,” katanya pada sidang media pra perlawanan di Phnom Penh.

Sementara itu, kapten pasukan Amirah Rahman pula yakin dengan kemampuan rakan-rakan sepasukannya dan sudah bersedia walaupun mereka hanya sempat berlatih selama dua minggu sahaja.

Kapten pasukan Wanita B20 Tahun Kebangsaan, Amirah Rahman

“Walaupun kami hanya sempat berlatih dalam tempoh dua minggu, tetapi kesemua pemain telah menunjukkan keserasian yang baik da kami akan berikan aksi terbaik kami menentang Kemboja,” katanya dalam sidang media yang sama.

Skuad Malayan Tigress akan menentang Kemboja pada Jumaat dalam aksi pembukaan Kumpulan G sebelum menentang Myanmar pada 12 Mac untuk mengintai peluang layak ke pusingan kedua kelayakan Piala Asia B20 Wanita yang akan berlangsung dari 3 hingga 11 Jun 2023.