PASUKAN bola sepak wanita Bawah 20 Tahun (B-20) negara akan meneruskan persaingan kedua bertemu Myanmar pada aksi Kelayakan Piala Asia Wanita B-20 yang kini sedang berlangsung di Kemboja.
Pada aksi pertama bertemu tuan rumah pada Jumaat, skuad negara akur dengan kekalahan saat akhir, 0-1 sekaligus menyaksikan perlawanan sukar untuk aksi seterusnya Ahad ini.
Pengendalinya, Cameron NG mengakui kepenatan menjadi antara faktor utama anak-anak buahnya hilang fokus.
“Kami perlu menang jika mahu layak dan yakin pemain akan berikan aksi terbaik mereka. Pada aksi bertemu Kemboja, kepenatan adalah salah satu sebab kita hilang fokus tetapi itu bukanlah alasan dan kami sudah mengenalpasti kelemahan.
“Kebanyakan pemain tidak pernah bermain 90 minit kerana kebanyakan liga Wanita di Malaysia berlangsung hanya 70 minit sahaja. Kami akan bermain corak permainan yang sama kerana pemain sudah biasa dengannya tetapi perlu lebih tenang dan bermain sebagai satu pasukan.
“Myanmar adalah pasukan yang lebih kuat dari segi fizikal serta kelajuan tetapi kami pernah bertemu Mongolia yang mempunyai kekuatan yang sama.
“Atas sebab itu kami hanya perlu fokus kepada permainan kami kerana pemain pasti mampu menjaringkan gol jika mereka mengikut pelan permainan yang ditetapkan,” katanya kepada media secara atas talian dari Kemboja.