LIMA wajah baharu daripada 25 pemain sedia ada kembali dipanggil Kim Pan-gon untuk menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bermula Jumaat.

Ia bagi menghadapi perlawanan pertama dan kedua Kumpulan D, Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Republik Kyrgyz pada 16 November 2023 dan Chinese Taipei pada 21 November 2023.

“Pan-gon telah mengekalkan seramai 20 daripada 25 pemain yang telah dipanggil pada kem latihan pusat terdahulu bagi Pestabola Merdeka 2023, Oktober lalu.

“Lima pemain baharu yang kembali tersenarai kali ini ialah penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman; pemain pertahanan, Shahrul Saad dan Syahmi Safari; pemain tengah, Afiq Fazail serta pemain sayap, Mohamadou Sumareh,” menurut kenyataan rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Isnin.

Bagaimanapun, dua pemain, Syamer Kutty Abba dan Nor Azam Abdul Azih masing-masing tidak dapat dipanggil kerana mengalami kecederaan.

Sementara itu, 26 pemain lagi diletakkan dalam senarai bersedia, jika terdapat perubahan dalam senarai 25 pemain yang diumumkan Pan-gon.

Skuad Harimau Malaya akan turun beraksi untuk perlawanan pertama Kumpulan D menentang Republik Kyrgyz pada Khamis, 16 November 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebelum terbang ke Taipei City bagi perlawanan kedua bertemu Chinese Taipei di tempat lawan pada Selasa, 21 November 2023.

Sementara dua lagi pertembungan lain dalam Kumpulan D menyaksikan Oman bertemu Chinese Taipei di Muscat pada 16 November 2023 dan Republik Kyrgyz menanti kunjungan Oman di Bishkek pada 21 November 2023.