HARIMAU Malaya berjaya mengelak pasukan berstatus ‘high profile‘ pada pusingan kelayakan kedua Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 selepas diundi dalam Kumpulan D bersama-sama Oman, Republik Krygyz dan pemenang pusingan pertama antara Taiwan dan Timor Leste.

Dalam undian yang dilakukan di AFC House, Bukit Jalil Malaysia yang diletakkan dalam Balang 3 bakal berhadapan lawan yang boleh dianggap seimbang dengan tidak ada satu pasukan pun pernah beraksi di Piala Dunia.

Malaysia yang kini ditangga ke-136 dunia dilihat mampu untuk menamatkan saingan dalam dua tempat teratas sekali gus layak secara automatik ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi dan ke pusingan kelayakan ketiga Piala Dunia 2026.

Namun begitu, Ketua Jurulatih Kebangsaan, Kim Pan-gon tidak mahu menganggap kumpulan ini sebagai kumpulan yang mudah sebaliknya mahu menjadikannya sebagai motivasi untuk memberikan persembahan terbaik.

“Secara keseluruhan saya gembira kerana pasukan dalam Balang 1 dan 2 adalah pasukan yang kuat. Ianya akan menjadi cabaran yang baik buat kami dan juga sebagai motivasi untuk memberi keputusan yang baik buat rakyat Malaysia.

“Kita tidak boleh menganggap kumpulan ini sebagai mudah tetapi ianya lebih baik dari kumpulan lain tetapi semuanya bergantung tentang bagaimana persiapan kami ditambah dengan taktikal yang sesuai.

“Oman adalah pasukan yang mempunyai fizikal dan mental yang kuat serta salah satu pasukan yang bagus di Timur Tengah. Kita perlu menghormati setiap lawan dan perlu sentiasa bersedia terutama apabila beraksi di tempat lawan,” katanya ketika ditemui selepas tamat majlis undian.

Pan-gon juga mengakui bahawa kini dia mudah untuk merancang perlawanan persahabatan kerana sudah mengetahui lawan masing-masing sebagai persiapan untuk menghadapi Piala Asia.

“Sekarang semuanya lebih jelas tentang lawan yang boleh kita jumpa. Kita akan umumkan lawan pada September sama ada hari ini atau esok dan untuk Januari kita akan tentukan siapa lawan yang sesuai.

Pengendali kelahiran Korea Selatan itu juga tidak mahu terlalu gembira dan meletakkan sasaran terlalu awal sebaliknya mahu lebih berhati-hati dalam persiapan supaya tidak tersalah langkah.

“Kita tidak mahu terlalu gembira dan kita perlu berhati-hati dengan ‘approach‘ kita. Kita adalah Malaysia yang sebelum ini ditangga ke-152 kini ditangga ke-136 dan kita perlu menghormati lawan dalam proses untuk menggembirakan rakyat Malaysia,” jelasnya.

Malaysia akan memulakan cabaran menentang Republik Krygyz pada 16 November 2023 di tempat sendiri sebelum bertemu pemenang antara Taiwan dan Timor Leste pada 21 November 2023 di gelanggang lawan manakala baki empat lagi perlawanan akan berlangsung pada masing-masing pada Mac dan Jun 2024.