FAKTOR keletihan tidak menjadi penghalang buat atlet Johor, Umar Usman untuk memenangi pingat emas acara 400 meter lelaki selain memecah rekod kejohanan ketika aksi final di Stadium Sarawak pada Rabu.

Tambah manis, ini kejayaan ini adalah pingat emas ketiganya dalam Sukma 2024 ini selepas turut memenangi acara 4×400 meter campuran dan 4×400 meter lelaki di venue yang sama pada Isnin dan Selasa.

Pelari kebangsaan itu menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 46.78 saat sekali gus memecahkan rekod lama 47.02 saat manakala pelumba Sabah di tempat kedua dan pelari Perak di tempat ketiga.

“Saya ada keyakinan untuk menang tetapi saya kawal perasaan itu kerana sedar pencabar juga adalah lawan yang kuat. Untuk larian hari ini saya sedikit keletihan kerana ini adalah acara ketiga sejak Isnin dan Selasa.

“Bukan tidak mahu pecah rekod kebangsaan tetapi untuk Sukma ini saya hanya sasar untuk pertahankan pingat emas dan pecah rekod kejohanan dan juga kerana saya baru pulih dari kecederaan, saya tidak mahu letakkan tekanan pada diri,” katanya ketika ditemui selepas perlumbaan.

Umar menegaskan dia kini ingin mengekalkan konsistensi dalam larian dengan Sukan IPT bakal menjadi ujian selepas ini selain dia mahu menumpukan perhatian untuk merebut peluang ke Universiti Auburn di Amerika Syarikat.

Dua lagi pingat emas yang dimenangi Umar

“Selepas ini saya akan bertanding di Sukipt dan saya perlu kekalkan konsistensi dalam kejohanan tahun ini dan saya juga akan usaha untuk ke Auburn University meskipun saya juga mendapat tawaran dari beberapa universiti lain,” jelasnya.

Umar berpeluang memenangi satu lagi pingat emas apabila bakal bersaing dalam acara 800 meter yang dijadualkan pada 22 Ogos 2024.