TIDAK ramai perasan, di sebalik kejayaan pasukan Harimau Malaya ke pusingan akhir Piala Asia 2023 ada watak kecil wira tak didendang oleh penyokong Malaysia.
Wajah pemain negara yang berseri-seri, rambut disisir rapi dan gaya yang pelbagai mewarnai 1001 kisah pada malam bersejarah di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa lepas.
Individu yang dimaksudkan adalah tukang rambut profesional, Abdul Hannan Miswan yang bertanggungjawab memastikan imej pemain Malaysia sentiasa smart dan kacak.
Ketika dihubungi secara ekslusif oleh FLASH SUKAN, pemilik The Gunting Karat Barbershop mengakui teruja dan bangga menjadi sebahagian daripada ceritera kemenangan pasukan Kim Pan-gon ke Piala Asia 2023 selepas 43 tahun menantikannya.
“Sebenarnya kami The Gunting Karat Barbershop dah dapat request untuk service house call haircut daripada pemain-pemain negara sejak sebelum pandemik lagi.
“Masa tu dalam hujung tahun 2018 dan 2019. Call up untuk pasukan B-23. Sampai ke selepas pandemik masih keep in touch dengan pemain.
“Dia orang kalau dalam kem kebangsaan memang tak boleh keluar. Jadi kebiasaannya mereka akan request untuk kami datang.
“Kami sangat bertuah sebab dapat pengalaman ini. Ini dapat menaikkan lagi nilai kami sebagai seorang barber untuk pelanggan setempat kita orang,” ujarnya yang miliki premis dan beroperasi di Banting, Selangor.
Jelas Abdul Hannan, perkhidmatan yang mereka berikan disambut baik oleh pemain-pemain negara.
“Bayaran yang diberikan sangat berbaloi. Mereka sangat menghormati orang luar dan sangat ramah.
“Kita dapat berkongsi idea dan mengenal secara dekat individu-individu penting dalam bola sepak tempatan.
“Kami juga dapat tingkatkan pengalaman dalam teknik menggunting, menghilangkan rasa gugup dalam mengendalikan pelanggan VIP. Secara tak langsung menjadi nilai tambah untuk kami sebagai barber,” katanya lagi.
Buat peminat yang inginkan gaya rambut mereka seperti Dion Cools, Sumareh, Dominic Tan atau pemain kebangsaan yang lain, boleh sahaja berkunjung ke Lot 1671 Kampung Sungai Lang Tengah 42700 Banting Selangor.