REZIQ Banihani, nama yang kini mula meniti di bibir penyokong-penyokong Selangor FC.

Penyerang muda dari Jordan itu hanya memerlukan 20 minit untuk memikat hati penyokong The Red Giants apabila dimasukkan sebagai pemain gantian pada babak kedua dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya malam tadi.

Meskipun tidak menjaringkan gol, jelas impak kemasukan bekas penyerang kelab Al-Faisaly ini menggantikan Yohandry Orozco memberi kesan kepada jentera serangan pasukan tuan rumah yang dilihat kurang menjadi.

Kelincahan serta kepantasan Reziq Banihani memberikan masalah kepada benteng Kedah Darul Aman FC, sehinggakan pemain pertahanan pasukan pelawat Akmal Zahir dilayangkan kad kuning serta mengalami kecederaan dalam usaha mengekang gerakan pemain berusia 22 tahun itu.

Malah gol tunggal kemenangan Selangor yang mengharungi perlawanan pertama selepas kontroversi penarikan diri daripada aksi Perlawanan Sumbangsih minggu lalu berpunca daripada larian daripada Reziq Banihani sebelum Aliff Haiqal melepaskan rembatan menerjah gawang Kedah.

Reziq mula jadi buah mulut penyokong Merah Kuning

Dan selepas perlawanan, Reziq Banihani memberikan mesej buat penyokong-penyokong The Red Giants.

“Saya berharap kita (penyokong Selangor) akan berjumpa selalu di stadium. Insya Allah kita akan mengharungi musim yang hebat dan akan buat mereka semua tersenyum selalu,” katanya.

Tambah Reziq Banihani, dia tidak berasa kekok bersama Selangor atas layanan yang diberikan oleh rakan sepasukan.

“Saya gembira berada di sini, saya rasa sudah lama beraksi di sini. Alhamdulilah saya gembira dengan penampilan pertama ini dan saya percaya masih banyak yang boleh saya sumbangkan kepada pasukan,” katanya.