KETIKA pemain, pegawai dan penyokong Kuala Lumpur City FC meraikan kejayaan kelab layak ke final Piala FA 2023 selepas mengatasi Terengganu FC menerusi penentuan penalti pada Ahad, mereka dikejutkan dengan berita duka apabila doktor dan kitman pasukan terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur.

Ketika kejadian, kedua-dua mangsa dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas perlawanan berakhir kerana perlu menghadiri urusan pada Isnin dan akibat dari insiden itu, kedua-dua mereka dikejarkan ke Hospital Raja Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Doktor pasukan, Mohd Adzlan Mohd Amin disahkan mengalami patah kaki dan memerlukan pembedahan ortopedik manakala kitman pasukan, Shahrul Mizan mengalami kecederaan ringan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Lumpur City FC, Stanley Bernard

Ketua Pegawai Eksekutif KL City, Stanley Bernard mengesahkan kejadian ini ketika dihubungi FLASH SUKAN dan berkata pihak kelab sudah bertemu dengan kedua-dua mangsa dan akan menjaga kebajikan mereka sehingga mereka pulih seperti biasa.

“Kemalangan berlaku kira-kira sejam perjalanan dari Kuala Terengganu dan mereka segera dibawa ke hospital dan diberikan rawatan lanjut oleh pihak kesihatan.

“Kelab mengambil maklum kejadian ini dan akan bertanggungjawab dalam menjaga kebajikan mereka sehingga pulih kerana mereka sudah lama berkhidmat dengan kelab.

“Kelab juga mengucapkan semoga cepat sembuh kepada kedua-dua mereka dan kelab sentiasa ada dibelakang jika mereka memerlukan bantuan,” jelas Stanley.