PEMANAH recurve wanita negara, Ariana Nur Dania sudah melakukan segalanya tetapi terpaksa akur gagal layak ke pusingan 1/16 Sukan Olimpik Paris 2024 selepas tewas di pusingan 1/32 kepada wakil Itali, Chiara Rebagliati menerusi penentuan ‘shoot off’ di Les Invalides.

Selepas melihat rakan sepasukannya, Syaqiera Mashayikh yang turut tersingkir pada Selasa dengan cara yang sama, Ariana memberikan saingan cukup sengit kepada pemanah Itali itu sebelum tewas 5-6.

Pada awal saingan, kedua-dua pemanah itu berkongsi mata susulan terikat kedudukan 3-3 selepas set ketiga sebelum Ariana bangkit dari ketinggalan 3-5 untuk mengheret permainan ke penentuan ‘shoot off’.

Aksi Ariana ketika menentang Chiara Rebagliati (kredit foto: OCM)

Ariana mempamerkan aksi yang cukup memberangsangkan untuk kali pertama beraksi di pentas Olimpik dengan beberapa bidikan tepat ke angka 10 memberikan rasa kurang senang buat lawan yang turun sebagai pilihan ke-15.

Bidikan ‘shoot off’ Ariana hanya singgah di angka sembilan ketika Chiara lebih awal meletakkan busurnya di angka 10 sekaligus menafikan hajat atlet berusia 19 tahun itu untuk melangkah lebih jauh.

Ariana gagal menahan sebak selepas tewas di peringkat 1/32

Ariana kini menyertai Syaqiera serta atlet menembak, Johnathan Wong dan dua perenang negara, Tan Rouxin dan Khiew Hoe Yan serta perseorangan badminton wanita negara, Goh Jin Wei yang sudah tersingkir dari Temasya Olimpik kali ini.

Foto: OCM