MARSEILLE melangkah ke pentes suku akhir Piała Perancis setelah menewaskan seteru utama, Paris Saints Germain (PSG), 2-1 yang merupakan kemenangan kali pertama di tempat sendiri sejak 2011.

Bekas pemain Arsenal, Alexis Sanchez meletakkan tuan rumah didepan pada minit ke-31 sebelum Sergio Ramos menyamakan kedudukan buat PSG dipenghujung babak pertama.

Namun pemain Ukraine, Ruslan Malinovskyi meledak rembatan kencang di luar kotak penalti dan tuan rumah cekal bertahan dengan keputusan 2-1 untuk menamatkan kemarau kemenangan sekian lama ke atas PSG di Stade Velodrome.

“Kami tahu penyokong kami menunggu kemenangan ini sekian lama. Kami gembira berkongsi dengan mereka,” kata kapten Marseille Valentin Rongier kepada France 3 selepas hanya kemenangan kedua mereka dalam 27 perlawanan menentang PSG.

Bagi kapten PSG, Marquinhos pula mereka membuat beberapa kesilapan yang merugikan pasukan.

“Kekalahan ini mengecewakan kerana ia perlawanan piala menentang musuh tradisi. Kami mahu kembali ke Paris dengan kemenangan.

“Kami perlu melakukannya dengan lebih baik, terus bekerja keras dan pandang ke hadapan,” tegasnya.

Bagi PSG, kekalahan ini merupakan penyingkiran awal kedua berturut-turut dalam saingan piala buat juara 14 kali itu selepas tewas di peringkat 16 terakhir kepada Nice musim lalu.