INSTITUT Sukan Negara (ISN) diyakini bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan dan membawa kelengkapan perubatan secukupnya, susulan kematian mengejut pemain badminton remaja China, pada Kejohanan Badminton Remaja Asia, beberapa hari lalu.
Timbalan Chef de Mission (CDM) ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Nicol David berkata, ISN akan memantau rapi kontinjen Malaysia, malah setiap acara sukan mempunyai pegawai yang dikhaskan bagi memastikan atlet berada dalam tahap terbaik sepanjang masa.
“Kita ada pasukan ISN yang sentiasa bersedia tetapi di Sukan Olimpik juaga sudah tentu menyediakan pasukan perubatan mmereka, ambulans akan ditempatkan di setiap venue dan itu adalah operasi standard di Sukan Olimpik.
“Di lokasi pertandingan pula, sudah tentu saya yakin kita (ISN) mempunyai peralatan defibrilator luaran automatik (AED) kerana ini adalah Sukan Olimpik, penganjur juga pasti menyediakannya.
“Pasukan kita (ISN) akan tetap membawa peralatan itu dan ISN akan dilengkapi peralatan secukupnya,” kata Nicol, ketika mengiringi CDM, Datuk Hamidin Mohd Amin melakukan lawatan mengejut ke Akademi Badminton Malaysia (ABM) pagi ini.
Sebelum ini, ISN mengesahkan menghantar 21 pakar perubatan ke Paris yang akan bertugas 24 jam memastikan atlet negara berada dalam keadaan terbaik.
ISN menghantar doktor perubatan, lima fisioterapi, lima juru urut, satu fisioterapi senam, satu pemakanan sukan, dua penganalisis prestasi, satu psikologi sukan, pegawai suaian fizikal serta dua pegawai sekretariat.
Ahad lalu, pemain badminton remaja China, Zhang Zhi Jie meninggal dunia di hospital, akibat serangan jantung ketika perlawanan, pada Kejohanan Remaja Asia di Yogyakarta, Indonesia.
ARTIKEL BERKAITAN : AJC 2024 : Pemain badminton China Zhang Zhi Jie meninggal dunia