PENGENDALI Perak FC, Yusri Che Lah mahu barisan pemain The Bos Gaurus tidak terus tunduk meskipun kembali dibelasah dalam aksi Liga Super pada Ahad.
Pada perlawanan di Stadium Perak itu, skuad Yob tumpas 4-0 di tangan Kuala Lumpur City FC sekali gus memberikan kekalahan yang ke-13 dalam liga musim ini.
“Syukur Alhamdulillah Allah memberikan kekalahan ini walaupun sukar untuk menerimanya. Seperti yang saya maklum semalam, dan hari ini KL City adalah satu pasukan yang cukup berpengalaman dalam Liga Malaysia.
“Jadi kita bersyukur kekalahan kerana banyak kelemahan kita dapati malam ini dan kita mengharapkan sesuatu yang berlainan atau persembahan seperti mana sebelumnya dalam dua perlawanan yang terdahulu di Ipoh.
“Tapi ia tak menjadi dan serba tak menjadi. Saya mengambil tanggungjawab atas kekalahan ini dan harap semua pemain tidak terus tunduk kerana kita bekerja keras… dan yang pasti, kita akan cuba dalam perlawanan dalam Liga Super seterusnya,” katanya selepas perlawanan.
Kekalahan itu turut menyaksikan Perak tumbang dua kali berturut-turut dengan jumlah besar sembilan gol selepas anak buahnya dilanyak Johor Darul Ta’zim (JDT) 0-5 dalam perlawanan terakhir liga.
Selepas ini, Perak akan meneruskan baki saingan berdepan Negeri Sembilan di Paroi pada 1 Oktober depan.
Sebelum itu, mereka terlibat saingan suku akhir Piala Malaysia bertemu Sabah FC pada 15 dan 23 September 2023.