SELANGOR FC secara rasmi mengumumkan kepulangan pemain kebangsaan Singapura, Safuwan Baharudin hari ini sebagai pemain import terbaharu Red Giants untuk musim 2023.

Kemahiran dan karisma bekas bek kanan Melbourne City ini dianggap mampu menambah kekuatan Selangor FC dalam pelbagai posisi, khususnya di bahagian tengah dan pertahanan.

Safuwan membuat 37 penampilan sejak tiga musim bersama Selangor FC. Bagaimanapun, kecederaannya dalam tempoh enam bulan terakhir musim lalu menyebabkan dia memutuskan untuk meninggalkan pasukan demi kepentingan dirinya dan juga kelab.

Menurut Safuwan, dia gembira menerima tawaran kembali ke kem Red Giants dan berharap peminat menerima kepulangannya.

“Saya menerima beberapa tawaran daripada Liga Thailand tetapi selepas berbincang dengan kedua ibu bapa saya, mereka mencadangkan yang terbaik untuk saya kekal dalam Liga Malaysia untuk enam bulan terakhir musim ini, yang sudah pasti bersama Selangor FC.

“Pada masa sama, antara yang menarik saya datang ke sini ialah saya tidak pernah bermain di bawah bimbingan Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe. Selain itu, hubungan dengan rakan sepasukan Red Giants akan membantu saya melaksanakan tanggungjawab saya di sini, terutamanya dari segi komunikasi dan chemistry kerana lebih separuh daripada pemain di sini adalah rakan sepasukan saya sebelum ini.

“Saya juga berharap persefahaman dengan pemain import dan beberapa pemain tempatan baharu dalam pasukan dapat dijalinkan,” jelasnya dalam laman rasmi kelab pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN : “Kita tetap masih manusia… Saya maafkan anda” – Safuwan

Ketika ditanya mengenai kedudukan dalam pasukan, dia menjelaskan : “Sejujurnya saya tidak kisah bermain di mana-mana posisi. Bagi saya, jika jurulatih mahu saya bermain di posisi itu untuk membantu memperkuatkan pasukan, saya akan memberikan yang terbaik. Saya telah bermain dalam pelbagai posisi sebelum ini, jadi saya tidak melihatnya sebagai masalah jika saya ditugaskan bermain di mana-mana posisi tertentu.”

Safuwan juga berkongsi kegembiraannya dapat kembali ke sini selepas enam bulan meninggalkan pasukan.

“Saya harap penyokong dapat menerima kepulangan saya. Bagi saya, pasukan bola sepak tanpa penyokong tidak akan berjaya. Semoga kita dapat berjaya. bekerjasama untuk Selangor FC,” ujarnya.