PRESIDEN Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Dr. Mohamad Norza Zakaria, mahu pasukan bola jaring negara mengembalikan kegemilangan Malaysia di Kejohanan Bola Jaring Asia 2024 yang bakal berlangsung di India, Oktober ini.

Dr Norza mengakui bahawa sukan bola jaring sentiasa mempunyai tempat istimewa di dalam hatinya selepas menyaksikan perlawanan akhir sengit antara Malaysia dan Singapura semasa beliau menjadi Chef de Mission bagi Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA ke-28 di Singapura pada 2015.

“Saya akan sentiasa memberikan sokongan penuh kepada Persatuan Bola Jaring Malaysia (MNA) untuk memastikan bola jaring kekal sebagai sukan arus perdana di Malaysia,” ucap  Dr Norza ketika Majlis Penyerahan Bendera kepada pasukan bola jaring negara pada Selasa.

Dr. Mohamad Norza memberi ucapan semasa Upacara Penyerahan Bendera kepada Pasukan Bola Jaring Negara pada Selasa

Beliau turut menggalakkan pasukan bola jaring negara untuk melangkaui batas kemampuan mereka dan mengekalkan semangat juang yang tinggi dalam menghadapi lawan.

“Ingat, setiap kali anda melangkah ke gelanggang, anda bukan sahaja bermain untuk diri sendiri, tetapi juga mewakili Malaysia dengan sokongan dan harapan seluruh negara di belakang anda, mendoakan kejayaan anda.

“Setiap langkah di gelanggang adalah satu langkah ke arah mengembalikan gelaran Juara Asia, yang kali terakhir kita raih pada tahun 1985 dan 2016,” ujarnya.

Alwiyah menyerahkan cenderamata kepada Dr Norza.

Meskipun bola jaring belum menjadi sebahagian daripada Sukan Olimpik, beliau menekankan pentingnya menerapkan nilai olimpik seperti kecemerlangan, hormat, dan persahabatan dalam setiap ahli pasukan bola jaring negara.

“Bermainlah setiap perlawanan dengan sepenuh kemampuan, hormati peraturan dan lawan, serta gunakan peluang ini untuk membina persahabatan dengan peserta dari negara lain,” tambahnya.

Pada majlis tersebut turut hadir adalah, Presiden MNA, Alwiyah Talib yang menyerahkan bendera kebangsaan kepada Dr. Mohamad Norza, yang kemudiannya menyerahkannya kepada Pengurus Pasukan dan Setiausaha Kehormat MNA, Zainon Md Noh.

Ketua Pasukan Bola Jaring Negara, Nurfariha Abdul Razak.

Seterusnya, bendera itu diserahkan kepada kapten Pasukan Bola Jaring Kebangsaan, Nurfariha Abdul Razak.

Upacara Penyerahan Bendera ini menandakan semangat dan motivasi yang tinggi buat pasukan kebangsaan, yang akan bertanding di Kejohanan Bola Jaring Asia ke-13, dijadualkan berlangsung dari 18 hingga 27 Oktober 2024 di Stadium Tertutup Koramangala, Bangalore, India.