PASANGAN kembar, Muhammad Danial Azray dan Muhammad Danial Azrol Noorazizan menyumbang pingat emas kelima negara selepas membuat kejutan dalam acara Artistik Ganda Lelaki.
Ironinya, kembar dari Pendang, Kedah itu, mengatasi lawan dari Filipina, yang juga pasangan kembar, Alfau Jan Esmael Abad dan Almohaidib Esmael Abad.
Gandingan kembar Abad pertama mempamerkan persembahan artistik di hadapan juri, mengumpul mata yang tinggi, 9.885 mata, namun kelebihan itu berjaya dipadam Azray-Azrol yang mencatat mata 9.945, sekali gus diisytihar pemenang pingat emas.
“Sejak kecil saya memasang impian mewakili Malaysia namun tidak pernah membayangkan akan memenangi pingat di temasya Sukan Sea,” kata Azray, abang kepada Azrol.
Sementara itu, Azrol mengakui, dilahirkan kembar menjadi kelebihan untuk dia dan abangnya meraih kejayaan.
“Pada usia empat tahun, kami mula bermain silat kerana tidak mudah untuk menguasai acara ini.
“Kami memilih bermain acara ganda kerana mahu beraksi bersama,” kata Azrol.
Kemenangan Azray dan Azrol itu menyaksikan pingat emas dalam acara Artistik Ganda Putra terus dikuasai Malaysia sejak Mohd Taqiyuddin Hamid dan Sazzlan Yuga bermula tahun 2017, di Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Nur Syafiqah Hamzah sekadar meraih perak, selepas tewas kepada Puspa Arum Sari dari Indonesia dalam acara Artistik Tunggal Wanita.
Nur Syafiqah memungut 9.9150 mata, manakala Puspa, 9.9700 mata.