PIHAK Kementerian Belia dan Sukan (KBS) belum bersedia untuk campur tangan isu membelenggu Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) antara bekas ketua jurulatih Mohd Zaki Sadri dan pengurusan persatuan itu.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, pihaknya menyerahkan isu itu untuk diselesaikan di peringkat persatuan terlebih dahulu.
“Jurulatih letak jawatan itu… mereka selesai dulu di peringkat persatuan. Buat masa ini, saya belum dipanggil untuk buat apa-apa (tindakan), biar mereka tentukan dahulu,” kata Hannah, ditemui selepas melancarkan Program KBS x Kuala Lumpur Car Free Morning 2023, di Dataran DBKL.
Sebelum ini, Zaki mengesahkan meletak jawatan selepas mendakwa tidak sehaluan dengan kepimpinan KOM dan sukar mendapatkan kepercayaan dariapda pegawai dalam badan induk sukan terbabit, bagi melakukan perubahan dalam skuad olahraga negara.
Zaki Sadri letak jawatan, tak sehaluan dengan Exco KOM
Namun, sebagai kenyataan balas, Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan KOM, Datuk Wira Mark Ling, membangkitkan isu yang berlaku di temasya Sukan Sea, di Kemboja Mei lalu.
Namun, beliau tidak mendedahkan apakah isu dimaksudkan, sebaliknya meminta Zaki sendiri membuat pendedahan dan pihaknya akan mula menjalankan siasatan sekiranya bekas jaguh lompat kijang itu membuka mulut.
Zaki sadri: Apa sebenarnya berlaku di Stadium Nasional Morodok Techo?
Mengulas mengenai pembabitan KBS dalam program bebas kenderaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Car Free Morning KBS x KL Car Free Morning 2023, Hannah berkata, ia sebahagian daripada seruan Perdana Menteri, yang mahu semua pihak berkerjasama menyumbang menjayakan setiap program, serta mengelakkan pembaziran.
“Ini kali pertama KBS menjalin kerjasama dengan DBKL dan kerjasama ini akan berterusan pada setiap hari Ahad minggu keempat, membabitkan pengisian aktiviti berbasikal, larian dan berjalan kaki.
“Pada masa akan datang, KBS akan menganjurkannya mengikut tema pakaian supaya ia menjadi lebih menarik,” katanya.