KETUA Jurulatih Selangor FC, Michael Feichtenbeiner dan penjaring gol kemenangan, Aliff Haiqal menganggap kemenangan menentang Kuala Lumpur City FC semalam adalah hadiah hari lahir terbaik buat mereka.
Michael yang ditemui dalam sidang media selepas perlawanan nyata gembira dengan aksi yang ditampilkan barisannya dalam perlawanan yang sangat penting.
“Saya sangat gembira. Ini adalah perlawanan piala yang tipikal. Kami lebih banyak menyerang dan pemain bermain dengan sangat baik. Saya bangga dengan persembahan mereka.
“Ianya pasti adalah hadiah hari lahir yang terbaik dan akan memberikan suasana yang baik buat saya. Selangor berhadapan dengan tekanan yang amat dashyat kebelakangan ini tetapi para pemain tetap bermain dengan baik,” jelasnya.
Aliff Haiqal yang akan menyambut hari lahirnya yang ke-22 pada 11 Julai pula tidak mempunyai kata-kata yang tepat untuk menggambarkan perasaannya apabila berjaya membantu Selangor layak ke suku akhir Piala FA.
“Syukur Alhamdulillah dengan gol ini. Saya tidak tahu apa nak cakap. Selepas tersisih akibat kecederaan, gol ini adalah hadiah hari lahir terbaik buat saya dan gembira dapat membantu Selangor meriah kemenangan ini,” katanya selepas perlawanan.
Sementara itu, pengendali Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak pula mengatakan pasukannya tidak bernasib baik kerana gagal menjaringkan gol dan kecederaan Paulo Josue sedikit merencatkan persembahan pasukannya.
“Kami sudah menjangkakan satu perlawanan yang sukar setiap kali bertemu Selangor. Kami kurang bernasib baik kerana gagal menjaringkan gol dan kami akan memantau kecederaan yang dialami Paulo Josue untuk persiapan perlawanan akan datang,” kata Bojan dalam sidang media.
Selangor FC akan bertemu Sabah FC di Kota Kinabalu pada 23 Julai nanti dalam satu lagi pertembungan dramatik yang pastinya menarik untuk disaksikan.