PENGENDALI Selangor FC, Nidzam Jamil mengakui dia gembira dengan kemenangan 2-1 yang juga kemenangan pertama pasukannya di tempat lawan musim ini sekali gus memberikan motivasi tambahan buat Gergasi Merah untuk menghadapi perlawanan akhir Piala FA menentang Johor Darul Ta’zim minggu hadapan.
Nidzam turut memuji barisan pemainnya terutama mereka yang dibawa masuk pada babak kedua kerana berjaya mengubah corak permainan memberikan tiga mata untuk di bawa pulang ke Petaling Jaya.
“Kita gembira kerana menang di tempat lawan. Ianya bukan mudah kerana Sabah beri kesukaran buat kami. Saya gembira dengan pemain yang masuk pada babak kedua, Aliff Haiqal, Faisal Halim dan Quentin Cheng yang berjaya memastikan kemenangan kita.
“Agak sukar main di padang yang lembap tetapi ianya perlawanan yang baik dengan tiga mata ini yang akan berikan semangat dan motivasi buat kita menjelang final Piala FA minggu depan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Bekas pemain Selangor itu juga turut mengakui tonggak utama, Faisal Halim masih memerlukan waktu untuk kembali ke tahap sedia kala namun dia gembira dengan tahap kecergasannya dan akan memberikan lebih minit permainan dalam aksi selepas ini.
“Untuk Faisal, kita bermain dengan waktu dan berdasarkan ujian, dia cergas untuk bermain tetapi perlu berikan waktu untuk dia dapatkan masa permainan dan mungkin dia dapat lebih minit permainan di Piala Sultan Selangor. Apabila dia mula mendapat minit permainan, kita akan dapat semula Faisal Halim yang lama,” tegasnya.
Sementara itu dalam sidang media yang sama, Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mahu para pemainnya belajar sesuatu daripada perlawanan ini di mana mereka perlu sentiasa mengekalkan fokus bagi mengelak dibolosi lagi pada minit-minit akhir permainan.
“Kita dihukum dengan kesilapan kita sendiri. Selangor ada pemain yang berkualiti dan sukarkan kita apabila pemain gantian tidak dapat menjalankan tugas dengan baik tetapi ini adalah pengajaran untuk semua pemain supaya tidak hilang fokus dan dibolosi pada minit terakhir menerusi sepakan sudut,” katanya.
Selangor bangkit dari ketinggalan pada babak pertama menerusi jaringan Ronnie Fernandes dan gol lewat Harith Haikal bagi memadam jaringan awal Darren Lok untuk kemenangan pertama di tempat lawan sekali gus mengukuhkan kedudukan di tangga kedua Liga Super.