BERADA di tangga tercorot Liga Super selepas aksi tewas yang berlarutan, Penang FC akhirnya berjaya bangkit meraih kemenangan 1-0 ke atas Kuala Lumpur FC pada Sabtu.
Pengendali Penang FC, Datuk Zainal Abidin Hassan mengakui kemenangan itu amat bermakna buat pasukannya, lebih-lebih lagi selepas agak ‘down’ sebelum ini.
“Kita tahu hidup dan mati pasukan malam ini khususnya setiap pemain telah memberi segala-galanya. Saya sangat gembira dan bangga dengan setiap pemain yang telah berkorban walaupun banyak terlepas peluang keemasan.
“Ini amat penting apabila pasukan ‘down’ dan tertekan, kemenangan ini akan memudahkan juga tugas saya untuk terus menguruskan pasukan bagi perlawanan-perlawanan seterusnya.
“Kemenangan ini juga adalah pembakar semangat untuk semua pemain,” jelasnya selepas perlawanan.
Dalam pada itu, Zainal Abidin menyedari ramai yang hampa apabila pasukan tidak mencatat kemenangan.
“Saya tidak nafikan sudah lama dalam bola sepak. Apabila team tidak bermain dengan baik ramai yang akan hampa. Tetapi saya dan pasukan tetap membuat kerja.
“Ini menjadikan semangat baik dan kepercayaan kepada semua penyokong. Saya ada lagi tiga perlawanan liga. Sokongan daripada penyokong-penyokong amat penting,” tambahnya.
Penang FC kini mengumpul 10 mata selepas 19 perlawanan dan berada di kedudukan ke-12 liga.