ISU tunggakan gaji langsung tidak menjejaskan persembahan skuad Kedah Darul Aman (KDA) FC yang menonjolkan permainan mantap apabila mudah membenam cabaran Negeri Sembilan FC.

Ketua jurulatih KDA FC, Nafuzi Zain merakamkan penghargaan kepada pemainnya yang bermain bersungguh-sungguh bagi meraih tiga mata penting dalam mencabar perebutan naib juara Liga Super musim ini.

“Pemain berupaya memberikan tumpuan dan meraih kemenangan dan berharap ia dapat diteruskan dalam perlawanan seterusnya bagi memburu tangga kedua liga dan tiket ke Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) musim depan.

“Saya sangat berterima kasih kepada pemain saya, kita memahami situasi tersebut (tunggakan gaji) tapi dari segi komitmen pemain, mereka tetap memberi 100 peratus komitmen dan dari segi latihan mereka tetap hadir menjalani latihan,” katanya menganggap tiga mata diperolehi itu adalah hadiah hari jadi ke-45 yang disambut pada 27 Oktober lepas.

Bekas pemain Kedah ketika era Mohd Azraai Khor Abdullah itu akui isu tunggakan gaji memang sukar namun para pemain memahami situasi yang berlaku dan mengetahui tindakan yang dilakukan pihak pengurusan yang berjanji untuk menyelesaikannya

Semalam, pemilik pasukan KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar mengesahkan pasukan itu kini berdepan masalah kewangan yang menyebabkan bayaran gaji pemain, jurulatih dan pegawai pasukan tertunggak sejak Ogos lepas.

Selepas 23 perlawanan, KDA FC kini menghuni tangga ketiga Liga Super dengan 50 mata.