KEMENANGAN Pearly Tan-M.Thinaah ternyata memberikan motivasi yang diperlukan oleh beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk mengalahkan pasangan beregu dari India.
Ketinggalan pada set pertama kepada Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dengan keputusan 13-21, pasangan dari Malaysia itu bangkit di set kedua dan set ketiga (21-14, 21-16) untuk mengesahkan tempat di pentas separuh akhir acara badminton Olimpik Paris.
Menurut Wooi Yik, kemenangan beregu wanita negara sebelum itu telah memberikan motivasi yang diperlukan olehnya dan Aaron.
“Kami sangat gembira dengan kemenangan mereka, cara mereka memenangi perlawanan tadi ternyata memberikan motivasi yang diperlukan oleh kami.
“Sebelum perlawanan hari ini, kami berasa gugup kerana ini merupakan temasya Sukan Olimpik. Kami juga tewas kepada pasangan India ini sebelum ini jadi sedikit sebanyak kami merasai tekanan itu.
“Mereka (Pearly Tan-M.Thinaah) memberikan kata-kata semangat dan sokongan dan itu memberikan kami satu tonik tambahan iaitu untuk tidak mudah mengalah dan terus gerak ke hadapan,” kata Wooi Yik selepas perlawanan.
Aaron pula menyatakan bahawa beregu India itu, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty merupakan hadangan paling sukar setakat ini di temasya Olimpik.
“Kami tewas dua kali berturut-turut dalam pertemuan sebelum ini dan ia sedikit sebanyak membuat kami merasai sedikit tekanan untuk mengalahkan mereka dan kami berjaya melakukannya,” katanya.
Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan bertemu sekali lagi dengan beregu no 1 dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang dalam aksi separuh akhir beregu lelaki esok jam 2.30 petang.