KETUA jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak mahu para pemainnya meneruskan rentak konsisten selepas berjaya meraih kemenangan pertama dalam Liga Super musim ini dengan membenam cabaran PDRM FC 2-0 di Stadium Negeri pada Jumaat.
Aidil memberikan kredit kepada para pemainnya meskipun tidak mempamerkan aksi terbaik namun dia berharap kemenangan sulung musim ini bakal melonjakkan lagi semangat mereka untuk menghadapi perlawanan akan datang.
Pengendali kelahiran asal Singapura itu juga turut mengakui beberapa perubahan yang dilakukan pada babak kedua membantu pasukannya bermain lebih baik dan mencatat tiga mata pertama di hadapan penyokong sendiri.
“Syukur atas kemenangan ini dan kredit kepada pemain yang memberikan segala-galanya dalam perlawanan ini walaupun ianya bukan permainan terbaik yang dipersembahkan oleh mereka.
“Meskipun mendapat gol awal, selepas itu kami dilihat sedikit selesa dan pertukaran dilakukan pada babak kedua berjaya mengubah permainan dan kami bermain lebih baik pada babak kedua.
“Saya berharap pemain faham untuk berada di atas mereka perlu konsisten dan juga mahu kemenangan ini berikan semangat baharu buat semua pemain,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Aidil turut mengucapkan terima kasih kepada penyokong yang hadir ke stadium kerana dia dapat melihat jumlah sokongan semakin meningkat dan ini membantu para pemain untuk berikan aksi terbaik mereka.
“Terima kasih pada penyokong yang semakin ramai hadir di stadium dan ini sekali gus berikan semangat buat pemain dan berharap sokongan ini berterusan sepanjang musim ini,” jelasnya.
Gol pada awal permainan oleh Danial Amier Norhisham dan penalti pada penghujung aksi dari Jordan Mintah cukup untuk memberikan kemenangan buat Kuching City sekaligus mendaki ke tangga keenam liga dengan enam mata selepas lima perlawanan.