PENAJA utama PT Athletic FC, PAG mahu barisan pemain meneruskan rentak kemenangan dan tidak memandang rendah kemampuan pasukan lain yang turut beraksi dalam saingan Liga A1 Semi-Pro MBSB Bank Championship 2024-2025.

Menyifatkan saingan masih diperingkat awal, PAG, sebuah syarikat bumiputera yang sudah bertapak lebih 10 tahun di Malaysia dalam bidang kewangan percaya barisan pemain mampu menggalas cabaran tersebut.

Pengarah PAG, Zaref Menon berkata, pihaknya cukup gembira dengan kemenangan 3-1 ke atas Bukit Tambun dan ianya sungguh membanggakan dengan apa yang telah dilakukan jurulatih dan pasukan pada awal musim ini.

Zaref Menon (baju biru) ketika aksi PT Athletic FC di Stadium MMU, Cyberjaya.

“Selaku penaja ini yang kami harapkan dan pemain serta jurulatih telah menyampaikan apa yang kami mahukan. Kita ambil pandangan diri sendiri dengan kelompok tiga terbaik jika semuanya berjalan lancar.

Mengulas tanggapan peminat bola sepak yang melihat PT Atheltic antara calon juara Liga A1 Semi-Pro, Zarif menegaskan masih terlalu awal dengan tanggapan tersebut namun yakin pemain akan menggalas tanggungjawab yang diberikan.

“Kami bekerjasama dengan pihak pengurusan dan juga rakan-rakan penaja dari awal hinggalah tertubuhnya PT Athletic FC ini, bermula dari jurulatih, wawasan serta sokongan dari rakan-rakan penaja.

Para penaja meraikan kemenangan PT Athletic FC.

“Kemenangan pada aksi pertama adalah permulaan untuk kejayaan dan semua itu terletak pada prestasi pasukan secara keseluruhan,” jelasnya yang hadir di Stadium MMU, Cyberjaya.

Sementara itu, salah seorang wakil penaja, Datuk Khairil Anuar A.Rahman menegaskan kejayaan menewaskan lawan pada aksi sulung itu membuktikan kombinasi jitu dikalangan pemain.

“Pasukan berjaya menampilkan satu kombinasi pemain senior, pada peringkat awal kita anggap mereka semua sudah tidak memiliki sentuhan berbisa namun sebaliknya dibuktikan dan ini membawa mesej kepada pasukan-pasukan lain dalam kejohanan ini,” jelasnya.

Gabungan pemain lama dan baru bentuk kekuatan PT Athletic FC.

Nada keyakinan sama turut dilaungkan rakan penaja yang lain iaitu, Datuk Mohd Fairuz Mohd Yusof yang mahukan peminat terus memberi sokongan tanpa berbelah bahagi kepada pasukan.

“Teruskan menyokong dan yakinlah kita akan berada dikedudukan tiga terbaik dan mungkin juga menjuarai saingan musim ini. Terima kasih kepada semua penyokong yang hadir memberikan sokongan,” katanya.

Saingan Liga A1 Semi-Pro MBSB Bank Championship 2024-2025 minggu ketiga akan berlangsung pada 22 dan 23 Jun dengan PT Athletic akan bertandang ke Stadium Utama, Kuala Selangor untuk berdepan Harini Selangor FT.