PENGURUS pasukan bawah (B-22) tahun kebangsaan, Datuk Posa Majais berterima kasih kepada semua pemain dan pegawai yang berjaya memberikan kejayaan kepada pasukan menjulang Piala Merlion 2023.
Skuad kebangsaan muncul juara selepas mengenepikan cabaran Hong Kong 2-1 dalam aksi final di Stadium Jalan Besar, Singapura untuk trofi pertama sejak format kejohanan ini ditukar kepada pertandingan bawah 23 tahun.
Posa juga yakin kemenangan ini akan menjadi pemangkin kepada pasukan ini untuk memberikan cabaran pada Sukan Sea di Kemboja Mei nanti selaras dengan sasaran yang diletakkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) iaitu layak ke final.
Tahniah skuad Harimau Malaya B-22 kendalian E. Elavarasan menjuarai kejohanan Merlion Cup 2023 edisi kesembilan selepas menewaskan Hong Kong B-22 2-1 di Stadium Jalan Besar, Singapura, malam tadi.#FAM #HarimauMalaya #MerlionCup2023 pic.twitter.com/6BPc7mzO9O
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) March 26, 2023
“Sememangnya kami perlukan kemenangan ini. Tahniah buat pemain dan pegawai kerana berikan kemenangan buat pasukan dan membawa balik Piala Merlion ini dan kemenangan ini sangat diperlukan sebagai bekalan ke Sukan Sea.
“Dengan kejayaan ini, saya yakin pasukan ini mampu beri cabaran di Sukan Sea kerana ianya berjaya menaikkan lagi semangat pasukan untuk beraksi di temasya dwitahunan di Kemboja itu nanti.
“Para pemain menunjukkan kesungguhan dalam dua aksi di Singapura ini dan sekali lagi saya ucapkan terima kasih kepada mereka kerana berjaya memenangi kejohanan ini,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN selepas perlawanan.
Dua jaringan daripada Najmudin Akmal dan Safwan Mazlan sudah cukup untuk memberikan skuad kendalian E. Elavarasan itu untuk muncul juara selepas terlebih dahulu menewaskan Kemboja pada untuk layak ke final.