JARINGAN penalti Erling Haaland membantu Manchester City merapatkan jurang kepada hanya dua mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris, Arsenal, selepas pasukan itu menang 1-0 ke atas Crystal Palace.
Skuad kendalian Pep Guardiola bergelut untuk menembusi benteng Palace sehinggalah Haaland menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-78, sebelum wisel penamat dibunyikan di Selhurst Park.
Gol itu yang ke-34 buat Haaland dalam semua pertandingan sejak berpindah dari Borussia Dortmund tahun lalu, cukup untuk membolehkan City mencapai kemenangan kelima dalam enam aksi terakhir liga.
Terus memberikan tekanan ke atas Arsenal, City kini mengharapkan anak buah Mikel Arteta keciciran mata ketika bertandang ke Fulham untuk melengkapkan jumlah perlawanan.
“Memang Arsenal berada pada prestasi terbaik. Tetapi kami masih dalam persaingan.
“Dalam perlawanan musim sejuk yang sukar, kami memenanginya. Berdasarkan pengalaman saya, setiap kali datang ke sini pasti sukar. Kami sentiasa bergelut kerana kami mahu menjaringkan lebih banyak gol.
“Mereka akan melambat-lambatkan permainan jadi kami perlu bekerja keras. Semuanya menggembirakan saya. Bukan suatu yang mudah, mereka bertahan dengan enam orang dalam kotak penalti dan Erling dikawal duapemain. Ia menguji kesabaran,” kata Guardiola.
Meskipun City tidak berada pada tahap terbaik mereka, kemenangan tipis cukup untuk menghalang Arsenal daripada terus melebarkan kedudukan dalam pemburuan kejuaraan.
Kekasaran Michael Olise ke atas Ilkay Gundogan memberikan sepakan penalti kepada City dan Haaland tampil menyempurnakannya.
Kini Haaland dan rakan sepasukan akan mengalih tumpuan kepada aksi timbal balik 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah menentang Leipzig di Manchester pada Selasa, dengan kedudukan terikat 1-1.
Palace masih belum merakam kemenangan Liga Perdana Inggeris dalam 10 perlawanan pada tahun ini, dan hanya berada empat mata di atas zon penyingkiran. – Agensi