JAGUH badminton paralimpik negara, Cheah Liek Hou merakamkan kejuaraan ke-10 berturut-turut apabila muncul pemenang Kejohanan Para Badminton Antarabangsa Fazza Dubai, pada Ahad.
Liek Hou mengalahkan pemain Jepun, Taiyo Imai 21-11, 21-19 dalam aksi final perseorangan lelaki kategori SU5.
“Kemenangan yang ke-10 berturut-turut (PERFECT 10). Tak tau nak cakap apa lagi dah. Tapi harus cakap juga.
“Terima Kasih banyak kepada Majlis Sukan Negara Malaysia, Kementerian Belia Dan Sukan Malaysia sudi menyokong saya sampai mendapat pencapaian ini.
“Institut Sukan Negara Malaysia, terima kasih kerana menghantar Kak Ros menjaga saya untuk mengelakkan kecederaan dan @maswanbdal berkongsi dengan saya game analisis.
“Penaja-penaja saya, Apacs, BT BINA GROUP, llaollao Malaysia dan AAA GREENCELL. Terima kasih juga kepada Rev Malaysia menjaga tahap fizikal saya,” katanya di Facebook.
Terdahulu, Liek Hou juga merangkul gelaran dalam saingan badminton para di Denmark dan Jepun (2019); Peru dan Brazil (2020); Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Sepanyol (2021) serta di Brazil pada bulan lalu dan di Bahrain, minggu lalu.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengucapkan tahniah atas prestasi gemilang Liek Hou di Dubai.
Luar biasa! Kejuaraan ke-10 berturut-turut buat jaguh badminton paralimpik negara, Cheah Liek Hou setelah menjuarai saingan perseorangan lelaki kategori SU5 Kejohanan Para Badminton Antarabangsa Fazza Dubai.
“Syabas dan tahniah juga buat skuad badminton para negara yang berjaya meraih pingat,” ciapnya menerusi Twitter.