KETUA jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon mahu tahap permainan anak didiknya terus dipertingkatkan jika ingin bersaing dengan pasukan besar kejohanan Piala Asia 2024.
Ia selepas ada lagi pemain Harimau Malaya yang masih gagal menuruti apa yang diinginkan beliau semasa perlawanan bertemu pasukan di ranking 135 dunia, Turkmenistan aksi persahabatan Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim pada Khamis.
Malaysia bagaimanapun berjaya meraih kemenangan tipis 1-0 hasil gol tunggal sayap Johor Darul Ta’zim, Akhyar Rashid pada babak pertama.
“Permainan yang begitu ketat kerana saya menekankan ketahanan fizikal dan mental, juga disiplin yang tinggi daripada pemain.
“Ada pemain yang tak boleh ikuti gaya permainan, jadi mereka harus pertingkatkan lagi prestasi.
“Saya tetap berbangga apabila kami menumpaskan lawan di ranking yang lebih tinggi,” katanya berhadapan situasi sukar bermain pada Ramadan pertama tapi semuanya berada pada tahap terbaik.
Beliau juga menjangkakan corak permainan Harimau Malaya akan menjadi lebih baik pada Jun dan September depan berikutan tidak banyak beraksi memandangkan saingan liga masih baharu di permulaan musim.
Pujian juga harus diberikan kepada penjaga gawang Turkmenistan, Charyyev Rasul yang menafikan peluang keemasan kem negara daripada dibocori banyak gol dan ia diakui oleh Pan-gon.
Sementara itu, jurulatih kelahiran Korea Selatan tersebut enggan melakukan pertukaran pemain terlalu banyak menjelang pertemuan persahabatan kedua berdepan Hong Kong pada Selasa.
Sebaliknya, katanya pemain lain akan mendapat peluang diturunkan nanti seperti mana pengalaman debut yang diraih Endrick Santos, Paulo Josue, Fayadh Zulkifli Amin dan Nooa Laine serta Feroz Baharudin.