KESATUAN Ragbi Malaysia (KRM) dan Badan Induk Ragbi Dunia (World Rugby) mengorak langkah baharu dalam memperluaskan sukan ragbi dengan pelancaran dan latihan intensif T1 Rugby, sebuah bentuk ragbi tanpa sentuhan yang inovatif.
Program ini dijalankan dalam persidangan khas pertumbuhan ragbi Asia yang menghimpunkan kesatuan ragbi dari seluruh Asia di Kuala Lumpur.
Pengarah Penyertaan Ragbi Dunia, John Lewis menekankan bahawa T1 Rugby bertujuan untuk menarik lebih ramai peminat baharu dan menyediakan alternatif kepada mereka yang ingin merasai semangat ragbi tanpa kontak fizikal yang berat.
T1 Rugby direka untuk menawarkan pengalaman permainan yang serupa dengan ragbi union tanpa sentuhan, menjadikannya sesuai untuk pasaran Asia yang mungkin lebih cenderung kepada sukan kurang kontak.
“Kami telah mengeluarkan tackle dari permainan dan semua elemen kontak, tetapi tetap mengekalkan ciri-ciri yang kelihatan seperti ragbi union,” kata Lewis.
T1 Rugby tetap mempunyai formasi scrummage, line-out, dan kawasan perlawanan yang menonjolkan taktikal. Dengan elemen-elemen ini, sukan ini membawa perasaan ‘ragbi sebenar’ tetapi lebih santai dan mesra bagi mereka yang baru berjinak dengan sukan ini.
Sukan ini dilancarkan tahun lalu, T1 Rugby telah mencapai lebih 80 negara, termasuk program besar di England, New Zealand, dan Afrika Selatan yang memperkenalkan T1 Rugby ke ribuan sekolah.
Di England, Persatuan Ragbi (RFU) telah melaburkan £4.5 juta untuk melancarkan T1 Rugby ke lebih 5,000 sekolah, dengan harapan dapat membina asas ragbi yang kukuh di peringkat remaja.
Salah satu kelebihan T1 Rugby adalah fleksibilitinya yang tinggi. Ia boleh dimainkan dalam format yang berbeza mengikut konteks, sama ada dengan lima atau sepuluh pemain, atau dimainkan dengan tempo yang lebih perlahan atau pantas.
Lewis menerangkan bahawa undang-undang permainan ini telah diubah suai agar mudah disesuaikan dalam sebarang persekitaran, sekali gus menjadikannya ideal bagi pemain yang ingin merasai ragbi tanpa tekanan tinggi.
Lewis berharap T1 Rugby dapat menjadi asas bagi pertandingan rentas sempadan di peringkat sosial, di mana pemain amatur dapat beraksi menentang rakan-rakan dari negara lain.
“Ia bukan hanya tentang persaingan tinggi, tetapi juga tentang keseronokan dan sosial,” tambahnya.
Pendekatan ini diharapkan dapat menarik lebih ramai peminat ragbi di Asia dan mengembangkan ragbi sebagai sukan sosial yang menghiburkan, sesuai untuk dinikmati oleh semua peringkat umur.
Dengan kemajuan ini, T1 Rugby berpotensi untuk menjadi fenomena baru di rantau ini, menjadikan ragbi lebih mesra, fleksibel, dan mudah diakses oleh lebih ramai orang di Asia.
Program latihan dan pendidikan oleh World Rugby bersama KRM ini menjadi langkah pertama ke arah memperkukuhkan komuniti ragbi yang inklusif dan menyeronokkan di rantau ini.