PERHATIAN tidak berbelah bahagi dari pelbagai pihak, melegakan bekas pemain skuasy lelaki negara Kenneth Low yang kini menjalani rawatan di Hospital Rehabilitasi Cheras.

Pada Rabu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim mengetuai Program Visit & Treat Skuad Yakeb (Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan) Prihatin.

Kenneth yang pada ketika ini menjalani rawatan pemulihan nyata gembira dengan kunjungan berkenaan selepas dimasukkan ke Hospital Rehabilitasi minggu lalu atas rujukan doktor yang merawatnya di Hospital Kuala Lumpur sebelum ini.

“Pihak hospital sudah memberikan penjagaan sangat baik terutama dari segi pemulihan kepada Kenneth yang sekarang ini masih di bawah rawatan.

“Kita harap semangat dibekalkan rakan-rakan dan semua pihak seperti hari ini dapat memberi sokongan kepada Kenneth supaya beliau dapat segera pulih,” kata Adam selepas mengunjungi Kenneth di hospital berkenaan.

Kenneth Low kini menjalani rawatan pemulihan di Hospital Rehabilitasi Cheras.

Turut hadir dalam kunjungan berkenaan adalah Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed.

Kenneth mendapat perhatian meluas apabila bekas atlet yang pernah menduduki ranking keempat terbaik Asia dan ke-38 dunia itu, meneruskan hidupnya sebagai petugas pembersihan serta mengalami masalah kesihatan.

KBS bersama Yakeb sentiasa memantau dan menghulurkan bantuan diperlukan Kenneth dengan yang terbaharu menghantar ujian darahnya ke makmal khas di Taiwan selain memaklumkan keputusan akan diterima dalam masa terdekat.

Kenneth sebelum ini dikhuatiri menghidap Multiple Sclerosis (MS), penyakit kronik berkaitan saraf dan ujian berkenaan akan mengenalpasti masalah kesihatan sebenar dialaminya.

“Menurut doktor, Kenneth menunjukkan progres yang sangat baik namun beliau masih perlu dipantau kerana kaki kirinya masih lemah. Sampel ujian darah beliau juga sudah dihantar ke makmal di Taiwan dan keputusan akan diterima dalam masa terdekat.

“Dalam pada itu, Kenneth juga akan terus menjalani fisioterapi di hospital ini sebelum tindakan lanjut diambli berdasarkan keputusan ujian darah yang diterima nanti,” kata Noorul.