ARKITEK tengah Kuala Lumpur (KL) City FC, Kenny Pallraj enggan mendabik dada dengan kemampuan yang dimiliki The City Boys apabila dijadualkan bakal berdepan Penang FC dalam aksi malam ini.

Bagi dirinya, tiada mana-mana pasukan yang dilabel sebagai pilihan serta menyifatkan KL juga merupakan pasukan underdog kerana sebelum ini KL sentiasa melakukan build up dari bawah.

“Bagi saya, Penang FC adalah sesuatu pasukan yang bagus. Mereka telah membuat beberapa kemasukan baharu pada musim ini.

“Kita tidak boleh labelkan mana-mana pasukan underdog walaupun underdog bukan senang untuk dikalahkan. KL pun adalah satu team underdog, kita bukan pasukan yang elit, dari dulu kami dilabel sebagai underdog.

“Bagi saya, pasukan yang dilabel underdog oleh orang ramai adalah sebuah pasukan yang berbahaya. Saya rasa kita tidak boleh ambil mudah terhadap pasukan Penang FC. Kita harus fokus dan bekerja keras untuk menewaskan mereka,” jelas Kenny.

Dengan kemasukan beberapa pemain baharu dalam skuad KL City musim ini, Kenny merasakan kombinasi pemain baharu dan lama telah berada pada tahap yang baik.

Bagaimanapun, keserasian tersebut mungkin akan mengambil sedikit masa memandangkan intensiti latihan dan perlawanan sebenar adalah berbeza dan pemain muda mungkin memerlukan sedikit masa.

“KL pun ada buat beberapa signing baru dan setakat ini saya rasa semua ada kombinasi yang bagus lagipun kebanyakan pemain bukanlah baharu bagi liga kita sebab mereka pernah bermain di Malaysia, beraksi bersama pasukan teratas serta bermain di tahap kompetitif.

“Ada satu dua pemain baharu, mereka ada keinginan untuk belajar dan mereka cuba untuk gel dengan pasukan. Saya rasa keserasian pemain baharu dan lama sudah bagus cuma dalam permainan akan ambil masa sedikit kerana latihan dan perlawanan adalah lain kerana intensiti berbeza,” ujarnya.

Menurut Kenny, persiapan pasukan berada pada tahap terbaik dan dia menegaskan akan lebih menumpukan konsentrasi pada aksi pertama liga kerana ia merupakan permulaan penting buat skuad kendalian Bojan Hodak.

“Persiapan untuk perlawanan lawan Penang memang kita buat yang terbaik. Saya bagi konsentrasi yang lebih kerana ia adalah perlawanan pertama dalam liga. Itu adalah satu step yang penting untuk permulaan liga. Harap ia akan jadi satu permulaan yang bagus. Kita tidak mahu tekanan buat kami. Kami akan buat sebaik mungkin,” katanya.