LAYAK digelar sebagai antara bintang legenda perseorangan lelaki dunia, Kento Momota terus berjuang dalam kerjayanya, untuk menempatkan diri sebagai antara pemain terbaik dunia.
Kemerosotan prestasi sejak mengalami kemalangan meragut nyawa pada 2020, tidak pernah mematahkan semangat Momota, namun apa yang membuatkannya terus berjuang ketika negara matahari terbit itu memiliki barisan bintang muda berbakat?
Melihatkan pencapaian Momota meraih 11 gelaran pada 2019 termasuk muncul juara dunia, Asia dan Seluruh England ketika itu, berada di ranking ke-40 dunia ketika ini sememangnya sukar untuk dia terima.
Malah pada tahun terbabit, dia mengatasi legenda negara, Datuk Lee Chong Wei yang meraih 10 gelaran semusim.
Tidak layak beraksi dalam kejohanan Jelajah Dunia yang besar, membuatkan dia merindui zaman kegemilangan.
“Saya amat cintakan badminton dan setiap kali beraksi, memberikan keseronokan, dan saya enjoy!
“Keseronokan yang saya rasa itulah yang membuatkan saya mahu bermain selama mana yang saya boleh,” kata Momota, ditemui pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam.
Ketika peluangnya ke Olimpik Paris seakan samar, dia mengakui meminta pasukan mencalonkannya sebagai pemain yang memperkuat skuad Jepun, dalam usaha membantu pasukan melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Thomas, April depan.
Tanpa memikirkan status legendanya, dia tiada masalah untuk menjadi perseorangan ketiga negara itu: “Tampil sebagai pemain ketiga Jepun di sini, saya sebenarnya mencabar diri kerana saya seorang yang sentiasa mahu mengharumkan nama Jepun.
“Membawa nama negara itu jauh lebih penting kepada saya berbanding meletakkan diri di hadapan.”
Semalam, Momota diturunkan sebagai perseorangan ketiga Jepun ketika berdepan Myanmar dan berjaya mengatasi lawannya, Min Htet Kaung 21-9, 21-5 dalam masa 21 minit.
Untuk rekod, Momota dua kali muncul juara Kejohanan Dunia di Nanjing, China 2018 dan Basel, Switzerland 2019, selain memenangi pingat gangsa di Jakarta, Indonesia 2015.
“Apapun saya berharap, kehadiran saya di kejohanan ini dapat memberi manfaat kepada pasukan kerana saya mahu memberikan yang terbaik dalam setiap kejohanan yang saya sertai.”
Jepun berada dalam kumpulan C bersama Thailand, Singapura dan Myanmar.