ASM Global, syarikat pengurusan venue terkemuka di dunia dan pengeluar berpengalaman, telah bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia melalui Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) untuk meningkatkan operasi dan aktiviti acara sedia ada di Bandaraya Sukan Kuala Lumpur, kompleks sukan terbesar di rantau ini.

ASM Global mempunyai rangkaian venue elit merangkumi lima benua, dengan portfolio lebih daripada 350 gelanggang, stadium, konvensyen, pusat pameran dan seni persembahan yang paling berprestij di dunia.

“Saya berpeluang menyaksikan upacara perjanjian persefahaman (MoU) di antara Stadium Malaysia dan perjanjian melibatkan kerjasama strategik dalam usaha menjadikan Kuala Lumpur Sports City (KLSC) sebagai venue acara sukan, hiburan dan komuniti terkemuka bertaraf dunia.

“Semoga usaha murni ini akan membuahkan hasil membanggakan. Kita sama-sama jadikan Malaysia kembali standing in the eyes of the world ! Insha Allah,” kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menerusi Twitter pada Sabtu.

Menurutnya lagi, KBS Malaysia percaya PSM dan ASM Global mampu merealisasikan impian seluruh rakyat Malaysia agar KLSC menjadi tumpuan dunia untuk penganjuran sebarang acara berprestij.

Setakat ini, kepakaran ASM Global tidak dapat disangkal sebagai peneraju utama dalam industri pengurusan venue serata dunia.