JANGAN bandingkan jumlah peruntukan antara atlet di bawah program Road to Gold (RTG), kerana keperluan setiap atlet berbeza.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, peruntukan yang diberikan kepada setiap atlet di bawah program Road to Gold (RTG) adalah berbeza mengikut keperluan masing-masing.

Menurut beliau, peruntukan yang diberikan kepada jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mungkin lebih tinggi berbanding atlet lain namun itu tidak bermakna pihaknya lebih menyayangi pelumba berkenaan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ketika Majlis Pelancaran Garis Panduan Pembangunan E-Sukan. /Pix by KBS

“Setiap sukan itu, memiliki ekosistem dan peralatan berbeza, jadi saya tidak boleh menilai Azizulhasni, kita belanja lebih kerana kita sayang dia lebih. (Datuk) Pandelela (Rinong) kurang kerana dia tiada peralatan (tidak memerlukan peralatan), tiada basikal…dia terjun (badan sahaja).

“Jadi, setiap sukan itu, nilainya berbeza. Kita tidak boleh menilai, kita sayang pelumba basikal, kita tidak sayang penerjun. Apa yang kita bantu itu…’topup’ yang kita berikan itu kita nak pastikan mereka lengkap bila mereka pergi.

Peruntukan setiap atlet bergantung kepada kos alatan dan perkhidmatan sokongan yang diperlukan. -Hannah Yeoh

“Untuk hari ini, saya tiada data peruntukan untuk setiap atlet dan itu boleh rujuk kepada Penyelaras Projek RTG, Datuk Stuart Ramalingam,” katanya, pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Garis Panduan Pembangunan E-Sukan di Puchong.

Ahad lalu, Hannah mengumumkan peruntukan sebanyak RM6.9 juta bagi program RTG yang ditubuhkan pada Mac lalu bagi menyelaras usaha memenangi pingat emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik.

Menerusi peruntukan itu juga, setiap atlet yang berada di bawah program RTG akan menerima elaun sebanyak RM3,000 sebulan.